Ahad, 1 September 2019 | 11:10am
Penduduk Bahamas bersiap sedia dengan serangan Taufan Dorian, semalam. -Foto Reuters

Bahamas arah penduduk, pelancong berlindung dari serangan Dorian

NASSAU: Pihak berkuasa di Bahamas membuat rayuan saat akhir kepada penduduk dan pelancong semalam supaya berlindung ketika masa semakin suntuk sebelum serangan Taufan Dorian, memberi amaran, keengganan berpindah boleh mengancam nyawa.

“Taufan Dorian adalah ribut ganas, berbahaya yang menghampiri kepulauan kita,” kata Perdana Menteri Bahamas Hubert Minnis dalam sidang media langsung di televisyen.

Ribut kategori empat itu membawa kelajuan angin maksimum 240 kilometer sejam, diramalkan membadai Bahamas hari ini dan membawa lebih 61 sentimeter hujan di sesetengah tempat, kata Pusat Taufan Nasional Amerika Syarikat (AS) (NHC).

“Satu tempoh panjang pusuan ribut mengancam nyawa, angin kencang berkekuatan taufan dan hujan lebat berupaya mencetuskan banjir kilat dijangka di Pulau Abaco dan Grand Bahama pada Ahad hingga Isnin,” kata NHC.

Dorian kemudian dijangka membadai Georgia serta Carolina di AS, kemungkinan Florida terlepas serangan langsung ketika komuniti di negeri berkenaan menaikkan tahap amaran.

Dalam laluan langsung, ribut ganas itu menuju pulau barat daya Bahamas di Grand Bahama dan Abaco.

“Saya mahu anda ingat: rumah, struktur boleh diganti. Nyawa tidak boleh diganti,” kata Minnis memberi amaran.

Beliau berkata, 73,000 orang dan 21,000 kediaman berisiko diserang pusuan ribut sehingga 4.6 meter.

“Kami meminta penduduk di kawasan sepanjang pantai utara Grand Bahama dan pantai utara serta timur Abaco berpindah kerana menjangka pusuan ribut sehingga 4.6 meter.

“Sebagai tambahan, pasang surut air laut juga meningkat kepada 0.6 meter hingga 0.9 meter,” kata Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Bahamas, Jeffrey Simmons. -Reuters

Berita Harian X