Ahad, 1 September 2019 | 6:16pm

YouTube langgar undang-undang, Google kena bayar RM841j

WASHINGTON: Enjin pencarian terkenal, Google, diarah membayar antara AS$150 juta hingga AS$200 juta (RM630 juta hingga RM841 juta) sebagai penyelesaian dakwaan laman perkongsian video, YouTube, melanggar undang-undang peribadi kanak-kanak.

Pelanggaran dibuat ketika mengumpulkan data untuk menambah baik sasaran iklannya, lapor media Amerika Syarikat kelmarin.

Menurut New York Times, Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) AS bersetuju dengan jumlah penyelesaian terhadap Google, dan jika diluluskan oleh Jabatan Kehakiman akan menjadi bayaran penyelesaian terbesar dalam kes membabitkan kanak-kanak.

Tuduhan terhadap YouTube dibuat kumpulan privasi yang mendakwa ia melanggar undang-undang melindungi peribadi kanak-kanak dengan mengumpulkan data pengguna di bawah usia 13 tahun tanpa kebenaran ibu bapa mereka.

FTC dijangka mengumumkan keputusan mengenai bayaran penyelesaian itu bulan ini.

Kumpulan pengawal selia AS berkenaan sudah lama menyatakan Google gagal melindungi kanak-kanak daripada kandungan bahaya dan pengumpulan data di YouTube.

Kumpulan penyokong, The Center for Digital Democrcy, berkata dalam kenyataan bahawa penyelesaian yang dicadangkan itu ‘sangat rendah’ memandangkan saiz dan pendapatan Google, dan meminta FTC memerintahkan Google supaya tidak lagi melakukan pelanggaran undang-undang peribadi kanak-kanak.

Google kekal menjadi mesin penghasilan wang bagi syarikat induk, Alphabet, dengan kebanyakan pendapatan datang daripada iklan digital, yang merangkumi AS$116 bilion (RM487 bilion) daripada AS$136 bilion (RM571 bilion), yang diperoleh syarikat beribu pejabat di Lembah Silicon itu tahun lalu.

Januari lalu, pemerhati data CNIL Perancis mengenakan denda paling tinggi kepada Google, iaitu 50 juta euro (RM231 juta) kerana gagal mematuhi Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Kesatuan Eropah, yang berkuat kuasa awal tahun lalu.

Google mengemukakan rayuan terhadap denda itu.

Satu lagi teknologi gergasi AS, Facebook, baru-baru ini membayar denda sebanyak AS$5 bilion (RM21 bilion) dengan FTC kerana salah guna data peribadi pengguna. - Agensi

Berita Harian X