Ahad, 1 September 2019 | 10:06pm
Perdana Menteri Bahamas, Hubert Minnis. - Foto AFP

Dorian semakin hampiri Bahamas

TITUSVILLE: Taufan Dorian meningkat menjadi ribut kategori lima ketika mendekati Bahamas hari ini, dijangka membadai pulau itu dengan hujan lebat dua hari, ombak tinggi dan angin kencang yang merosakkan sebelum bergerak ke tanah besar Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Bahamas, Hubert Minnis, merayu penduduk Abaco dan Grand Bahamas berpindah ke tanah besar bagi mengelakkan ribut pemusnah yang bahaya itu.

“Saya mahu anda ingat: kediaman, rumah, struktur boleh diganti. Nyawa tidak,” katanya pada sidang akhbar semalam, menambah 73,000 penduduk dan 21,000 rumah berisiko berhadapan ombak besar akibat ribut, dijangka mencecah 6.1 meter.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) yang beribu pejabat di Miami, berkata Dorian mengumpul kekuatan angin 160 kilometer sejam awal hari ini dan berada 55 kilometer ke timur Abaco.

Selepas menuju ke Bahamas, ia dijangka bergerak ke barat laut dan tidak melanda Florida secara langsung.

Komuniti utara di Georgia dan Carolina Selatan meningkatkan paras amaran semalam, dengan penduduk mengisi beg pasir ketika pihak berkuasa menguji infrastruktur dan latihan taufan.

Walaupun Dorian seperti tidak akan memberikan impak secara langsung kepada Amerika Syarikat, NHC memberi amaran ribut kategori lima itu akan membadai jutaan penduduk di Florida dan kedua-dua Carolina dengan angin kencang dan ombak bahaya.

Kebanyakan pelancong yang bercadang meninggalkan Bahamas, berbuat demikian sebelum lapangan terbang utama ditutup malam kelmarin. — Reuters

Berita Harian X