Isnin, 2 September 2019 | 8:36am
ANGGOTA polis mengawal di lokasi tembakan di Odessa. - Foto Reuters

Korban tembakan rambang Texas kini 7 orang

TEXAS: Seorang penyerang yang melepaskan tembakan rambang menggunakan raifal jenis AR di barat Texas kelmarin membunuh tujuh orang dan mencederakan 22 yang lain, termasuk seorang kanak-kanak sebelum ditembak mati polis, kata pihak berkuasa.

Polis mengenalpasti suspek sebagai Seth Aaron Ator, 36 dari Odessa.

Polis berkata serangan berlaku pada tengah hari Sabtu lalu ketika pihak berkuasa melakukan pemeriksaan rutin trafik.

Ia berakhir apabila penembak, seorang lelaki kulit putih berusia dalam lingkungan 30an berjaya dikepung pihak polis di tempat letak kereta berhampiran sebuah kompleks panggung wayang.

Insiden berbalas tembakan di antara bandar Odessa dan Midland membabitkan polis, pengguna jalan raya dan peniaga itu berlaku ketika keadaan agak sibuk sempena cuti hujung minggu.

Pihak berkuasa berkata, polis mengenali penembak terbabit yang juga penduduk tempatan. Setakat ini siasatan mendapati insiden itu tiada kaitan dengan rangkaian aktiviti pengganas dari dalam mahupun luar negara.

“Setakat ini tiada jawapan yang pasti berhubung motif sebenar insiden, tetapi kami yakin suspek bertindak sendirian,” kata Ketua Polis Odessa, Michael Gerke dalam satu sidang media.

Drama tembakan di antara Midland dan Odessa itu bermula apabila dua polis peronda lebuh raya menahan sebuah kenderaan di Interstate 20 kerana suspek tidak menggunakan isyarat membelok.

Suspek kemudian muda menembak polis menggunakan raifal jenis AR menyebabkan seorang anggota tercedera.

Selepas melarikan diri, suspek merampas sebuah van milik pejabat pos dan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai sebelum mati ditembak polis di luar kompleks panggung wayang Cinergy di Odessa.

Empat minggu lalu, 22 terbunuh selepas seorang penyerang melepaskan tembakan rambang di pasar raya Walmart, 410 kilometer ke barat Midland, di bandar El Paso, Texas. - Reuters

Berita Harian X