Isnin, 2 September 2019 | 10:53am
Dengan angin berkelajuan 298 kilometer sejam, Dorian setanding dengan Gilbert (1988), Wilma (2005) dan taufan Hari Buruh 1935 untuk ribut kedua paling kuat Atlantik berdasarkan rekod kelajuan angin. -Foto Agensi

Dorian badai Bahamas sebagai taufan kedua paling ganas Atlantik

TITUSVILLE: Taufan Dorian membadai Bahamas pada Ahad sebagai ribut kedua paling ganas direkodkan dan menghampiri Amerika Syarikat (AS) dengan sebahagian penduduk Florida sudah dipindahkan manakala Georgia dan Carolina berdepan angin kencang dan banjir.

Pusat Taufan Nasional AS (NHC) berkata, Dorian mendarat di Elbow Cay di Pulau Abaco sebagai ribut Kategori 5 dengan angin maksimum 295 kilometer sejam dan tiupan angin lebih 354 kilometer sejam.

Ia membadai kali kedua di Pulau Great Abaco berhampiran Pelabuhan Marsh dan kini sejauh 113 kilometer dari pantai Florida.

Jutaan penduduk dari Florida sehingga Carolina Utara menanti jika Dorian mendarat di AS atau sebaliknya menuju Lautan Atlantik. Malah, tepisan taufan paling kuat pernah membadai Florida itu boleh membawa hujan lebat dan angin kencang.

NHC berpusat di Miami berkata, serangan di Florida masih satu kemungkinan.

Penduduk di Abaco menghantar video di media sosial menunjukkan air banjir memasuki bahagian sisi rumah dengan sebahagian bumbung tercabut.

Bunyi penggera kenderaan bising di seluruh pulau itu yang dipenuhi serpihan keluli dan kayu. Peramal kaji cuaca meramalkan hujan sehingga 76 sentimeter dan pusuan ribut sehingga tujuh meter akibat serangan taufan Kategori 5 dalam skala angin Saffir-Simpson itu.

Perdana Menteri Bahamas Hubert Minnis dalam sidang media disiarkan di televisyen berkata, ‘ribut ganas dan raksasa’ membadai rantau itu. Rumah di pulau itu dibina dengan penebat angin sekurang-kurangnya 241 kilometer sejam namun pusuan ribut sehingga enam meter lebih tinggi berbanding bumbung purata.

“Serangan ini memberi ujian yang tidak pernah dihadapi sebelumnya. Ini adalah hari paling sedih dan teruk dalam hidup saya ketika memberi ucapan kepada rakyat Bahamas.

“Saya mahu mengatakan, sebagai seorang doktor, saya dilatih untuk bertahan untuk banyak perkara namun tidak untuk insiden seperti ini,” kata Minnis.

Dengan angin berkelajuan 298 kilometer sejam, Dorian setanding dengan Gilbert (1988), Wilma (2005) dan taufan Hari Buruh 1935 untuk ribut kedua paling kuat Atlantik berdasarkan rekod kelajuan angin.

NHC berkata, Allen yang membadai pada 1980 pada kelajuan 306 kilometer sejam dianggap taufan paling ganas pernah menyerang. -Reuters

Berita Harian X