Isnin, 2 September 2019 | 10:08pm
Taufan Dorian membadai menyebabkan kerosakan besar di seluruh Bahamas. - Foto Reuters

13,000 rumah musnah akibat Dorian - Palang Merah

GENEVA: Taufan Dorian menyebabkan kerosakan besar di seluruh Bahamas, kata Pertubuhan Palang Merah (IFRC) hari ini, memberi amaran sebanyak 13,000 rumah berisiko rosak teruk atau musnah.

“Kami belum dapat gambaran penuh apa sebenarnya berlaku.

“Namun sudah jelas Taufan Dorian memberi impak amat teruk,” kata ketua Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Pusat Operasi Kecemasan Bulan Sabit Merah di Geneva, Sune Bulow, dalam kenyataan.

Katanya, mereka menjangkakan keperluan tempat perlindungan, selain sokongan ekonomi jangka pendek, dan air bersih dan bantuan kesihatan.

Taufan Dorian melanda Bahamas dengan angin kencang dan hujan semalam, dengan ribut Kategori Lima memusnahkan bandar dan rumah ketika ia membadai laluan tidak dipastikan ke arah pantai Amerika Syarikat yang menyaksikan ratusan ribu diarah berpindah.

Tiada maklumat mengenai kematian di pulau bertanah rendah.

Namun IFRC berkata, sehingga 13,000 rumah sudah pun rosak teruk.

Ia juga memberi amaran banjir besar di pulau Abaco yang dipercayai mencemari perigi dengan air masin.

Membawa angin selaju 295 kilometer sejam, Dorian menghentam pantai Kepulauan Abacos di barat laut Bahamas, sebagai ribut paling kuat pernah membadai gugusan kepulauan Caribbean itu.

IFRC berkata, ratusan sukarelawan Palang Merah, kenderaan kecemasan dan lebih 30 trak dipenuhi bekalan bantuan digerakkan untuk membantu penduduk yang tinggal di laluan taufan itu. — AFP/Agensi

Berita Harian X