Selasa, 3 September 2019 | 7:26pm
Dua kenderaan polis berada di lokasi kejadian seorang remaja lelaki 14 tahun menambak mati lima anggota keluarganya di Alabama. - Foto https://whnt.com

Remaja 14 tahun tembak mati 5 anggota keluarga

ALABAMA: Seorang remaja lelaki 14 tahun menembak mati lima anggota keluarganya di rumah mereka di Alabama, sebelum mencampakkan pistol dan menghubungi polis, kata pegawai hari ini.

Ia adalah jenayah membabitkan senjata api berprofil tinggi terbaharu di Amerika Syarikat.

Kejadian berlaku malam semalam di pekan Elkmont, kata jurucakap Pejabat Sherif Wilayah Limestone, kepada media.

Pejabat sherif berkata, lima ditembak, dengan tiga meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi di hospital.

“Pemanggil berusia 14 tahun disoal dan mengaku menembak semua lima anggota keluarganya di kediaman mereka.

“Dia kini membantu penyiasat dalam mengesan senjata, iaitu pistol sembilan milimeter yang dikatakan dibuang di kawasan berhampiran,” kata jabatan itu dalam Twitter.

Pembunuhan itu menyusul kes tembakan beramai-ramai di AS, termasuk hujung minggu lalu di Texas yang meragut tujuh nyawa dan 22 lagi cedera, termasuk seorang kanak-kanak.

Bulan lalu, seorang penyerang membunuh 22 orang dan mencederakan 24 lagi di El Paso, Texas manakala seorang lagi penjenayah membunuh sembilan orang dan mencederakan 27 di Dayton, Ohio. — Reuters

2658 dibaca
Berita Harian X