Rabu, 4 September 2019 | 12:31pm

Jumlah kematian Taufan Dorian meningkat tujuh

NASSAU (BAHAMAS) : Taufan Dorian terus membadai Bahamas walaupun kekuatannya dilaporkan agak berkurangan semalam dengan jumlah kematian kini mencecah 7 orang.

Perdana Menteri Bahamas, Hubert Minnis yang menyifatkan Dorian sebagai ‘krisis negara terhebat dalam sejarah’ mengumumkan jumlah kematian itu dan berkata, ia dijangka terus meningkat.

“”Kita boleh menjangkakan lebih banyak kematian akan direkodkan. Ini cuma maklumat awal,” katanya kepada wartawan.

Ketika taufan berkenaan semakin bergerak meninggalkan Bahamas, lebih banyak kesan kerosakan mula timbul.

“Air naik sehingga ke atas bumbung dan saya boleh katakan ia sekurang-kurangnya setinggi enam meter. Kami dalam keadaan baik sebelum itu sehinggalah paras air terus meningkat dan semua peralatan rumah mula terapung.

“Isteri saya mengalami hipotermia dan beliau hanya mampu berdiri di atas almari dapur. Saya berada bersamanya sehingga keadaan reda,” kata penangkap ketam, Howard Armstrong.

Rakaman udara Pulau Great Abaco di Bahamas yang disiarkan CNN memaparkan kemusnahan besar dengan ratusan kediaman kehilangan atap, kereta terbalik, banjir di merata-rata tempat serta serpihan kayu bertaburan.

“Sebahagian besar Abaco musnah. Terdapat banjir besar, kemusnahan pada kediaman, premis perniagaan, bangunan lain dan infrastruktur,” kata Minnis.

Menurut beliau, penduduk Bahamas terpaksa menempuh keadaan penuh menakutkan selama beberapa jam dan hari, khuatir dengan keselamatan diri serta orang tersayang.

Landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Grand Bahama di Freeport iaitu bandar terbesar negara itu turut ditenggelami air, sekali gus menyukarkan kerja-kerja pemulihan dan menyelamat. - AFP

Berita Harian X