Selasa, 10 September 2019 | 12:32pm
SUAMI kepada bekas calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Sarah Palin memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Suami Sarah Palin fail permohonan cerai

LOS ANGELES : Suami kepada bekas calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Sarah Palin memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman, lapor media negara itu semalam.

Kertas permohonan perceraian yang difailkan di Anchorage, Alaska memetik ‘tiada persefahaman’ antara Todd dan Sarah Palin, kedua-duanya berusia 55 tahun, menyebabkan mustahil untuk mereka meneruskan hidup sebagai suami isteri.

Dokumen perceraian itu hanya menggunakan nama ringkas pasangan berkenaan namun identiti mereka disahkan berdasarkan tarikh ulang tahun perkahwinan dan tarikh lahir anak bongsu pasangan terbabit.

Todd dan Sarah melangsungkan perkahwinan pada 1988 serta memiliki lima cahaya mata.

Keluarga itu menjadi perhatian ramai apabila bekas senator Republikan, John McCain menamakan Sarah Palin, ketika itu gabenor Alaska sebagai rakan gandingan untuk pilihan raya presiden pada 2008. Gabungan Mc Cain dan Palin bagaimanapun tewas kepada Barack Obama dan Joe Biden.

Palin berkhidmat sebagai gabenor Alaska bermula 2006 hingga 2009.

Sejak itu beliau dan suami, seorang nelayan komersil serta pengeluar minyak muncul dalam beberapa rancangan realiti televisyen.

Anak sulung pasangan terbabit, Bristol adalah peserta musim 2010 bagi rancangan ‘Dancing With the Stars’.

Selepas meninggalkan pejabat gabenor, Palin menganggotai gerakan ultra konservatif, Tea Party yang menyumbang kepada kebangkitan fahaman populis, dibawa oleh Presiden Donald Trump.

Palin adalah penyokong kuat Trump sejak pilihan raya presiden 2016. - AFP

1651 dibaca
Berita Harian X