Sabtu, 14 September 2019 | 8:41am
Gambar satelit ini diperoleh dari NOAA / RAMMB, menunjukkan kawasan cuaca yang terganggu (95L) di tenggara dan tengah Bahamas pada 16: 10UTC pada 12 September 2019, berkembang dengan lebih baik dan mungkin terbentuk menjadi ribut tropika oleh 14 September, menurut Pentadbiran Oseanik dan Atmosfera Negara (NOAA). - Foto AFP

Bahamas berhadapan ancaman ribut tropika pula

MIAMI: Amaran ribut tropika dikeluarkan semalam bagi utara Bahamas ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran mengenai bahaya perubahan suhu ketika melawat kepulauan yang dibadai taufan baru-baru ini.

Pusat Taufan Kebangsaan beribu pejabat di Miami berkata, tekanan membentuk berhampiran Bahamas dan dijangka menjadi ribut tropika hari ini.

Pakar kaji cuaca Bahamas berkata, pulau Grand Bahama dan Abaco, yang paling terjejas oleh Taufan Dorian, berada dalam laluan sistem cuaca yang semakin menghampiri itu.

Angin selaju 100 kilometer sejam dijangka berlaku dan hujan lebat boleh menyebabkan banjir di pulau yang sudah dinaiki air itu, kata pengarah Jabatan Kaji Cuaca, Trevor Basden.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) Bahamas, Carl Smith, berkata ribut itu memberi kesan kepada usaha bantuan dan pemulihan di Grand Bahama dan Abaco.

“Sistem cuaca itu akan melambatkan logistik.

“Bahan bakar dan air masih menjadi bahan keperluan terbesar di Abaco,” kata Smith kepada sidang akhbar di Nassau.

Sementara itu, Guterres berkata dalam Twitter beliau mengunjungi Bahamas untuk menyatakan solidariti dengan rakyat kepulauan itu dan akan terus menyokong mereka.

Dalam kenyataan yang disediakan, Guterres berkata, 75 peratus bangunan musnah di bebarapa kawasan akibat Dorian, taufan Kategori Lima.

“Hospital sama ada musnah atau dibanjiri. Sekolah menjadi sisa runtuhan.

“Ribuan penduduk berterusan memerlukan bantuan dengan makanan, air dan tempat perlindungan,” katanya. — AFP

Berita Harian X