Sabtu, 14 September 2019 | 9:14am
Aktivis Hong Kong, Joshua Wong (kiri) dan graduan Jabatan Sains Politik, Universiti Washington, Brian Leung Kai Ping dalam sesi perbincangan di Sekolah Undang-Undang, Universiti Columbia, New York. Foto AFP

Aktivis Hong Kong cuba raih sokongan Trump, Kongres

NEW YORK: Aktivis Hong Kong, Joshua Wong semalam, menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memasukkan klausa hak asasi manusia dalam mana-mana perjanjian dengan China, selain meminta Washington menyokong gerakan demokrasi di bandar raya itu.

Wong, 22, juga meminta ahli politik Washington meluluskan rang undang-undang bagi menyokong kempen prodemokrasi, ketika berucap dalam satu majlis di New York, iaitu beberapa jam selepas tiba di Amerika Syarikat.

“Amat penting untuk memasukkan klausa hak asasi manusia dalam rundingan perdagangan dan meletakkan protes di Hong Kong sebagai antara agenda dalam rundingan perdagangan,” kata Wong kepada AFP.

Ketika ini, dua kuasa ekonomi dunia itu sedang berdepan dengan perang perdagangan yang tercetus sejak tahun lalu, membabitkan tarif timbal balik bernilai berbilion dolar dalam perdagangan dua hala.

Rundingan perdagangan antara Beijing dan Washington dijadualkan berlangsung bulan depan.

Dalam pada itu, Wong berkata, amat penting untuk memasukkan Hong Kong sebagai salah satu agenda dalam rundingan, kerana ia berdepan ancaman undang-undang darurat, selain kebimbangan bahawa China akan menghantar tentera ke wilayah separa autonomi itu.

“Jika China tidak berhasrat melindungi kebebasan ekonomi Hong Kong dan membuka peluang perniagaannya, ia sudah pasti akan menjejas dan memusnahkan ekonomi dunia,” katanya.

Aktivis pelajar itu tiba di Amerika Syarikat selepas mengunjungi Jerman dalam usahanya mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa bagi memperluaskan protes prodemokrasi di Hong Kong.

Tunjuk perasaan itu sudah menjejaskan beberapa kawasan di hab kewangan Asia berkenaan, termasuk lapangan terbang.

Sejak 14 minggu lalu, jutaan penduduk Hong Kong berhimpun di beberapa jalan raya dan ia dianggap satu cabaran kepada pemerintahan China, sejak mengambil alih pentadbiran bandar raya itu daripada Britain pada 1997. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X