Ahad, 15 September 2019 | 12:21pm
Gambar disediakan oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA) menunjukkan imej satelit Ribut Tropika Humberto bergerak ke arah barat laut di Lautan Atlantik Barat Daya, kelmarin. - Foto EPA

Ribut Humberto landa Bahamas dengan hujan lebat

MIAMI: Ribut Tropika Humberto membadai Bahamas dengan hujan dan angin semalam, menjejaskan usaha bantuan akibat kemusnahan yang dibawa Taufan Dorian tidak sampai dua minggu lalu.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat berkata, pusat ribut itu, yang mengumpul kekuatan angin selaju 95 kilometer sejam, melepasi petang semalam kira-kira 136 kilometer ke utara Pulau Great Abaco, satu daripada kawasan paling teruk terjejas akibat Dorian.

Humberto meninggalkan Bahamas dalam laluan yang membawa ia jauh dari pantai timur Florida minggu ini dan awal minggu depan.

Ribut itu dijangka berubah kekuatan menjadi taufan hari ini tetapi diramalkan tidak membadai Bahamas atau AS ketika itu.

“Kekuatan ribut itu tidak dijangka membentuk di barat laut Bahamas,” kata NHC yang beribu pejabat di Miami.

Namun ia dijangka menerima hujan lima hingga 10 sentimeter di kebanyakan kawasan, dengan banjir di kawasan rendah, kata Agensi Pengurusan Bencana Bahasam (NEMA).

“Saya tahu ini bukan yang mahu didengari oleh penduduk Abaco dan Grand Bahama, tetapi ia berlaku dan ribut itu akan membawa hujan lebat di kepulauan Bahamas.

“Jadi, bersedialah,” kata pakar kaji cuaca kanan di Grand Bahama, Shavon Bonimy. — AFP

Berita Harian X