Selasa, 17 September 2019 | 9:36am
Gambar satelit kerosakan di kemudahan minyak Abqaiq, Arab Saudi. -Sumber Kerajaan AS/DigitalGlobe, menerusi Associated Press.

Bukti tunjuk Iran sebagai dalang - AS

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump berkata, Iran kemungkinan menjadi dalang serangan kemudahan minyak Arab Saudi pada Sabtu lalu, memetik penilaian perisikan dan gambar satelit menunjukkan apa yang dikatakan pihak berkuasa, bukti pembabitan Iran.

Pegawai pentadbiran Trump berkata, serangan itu mungkin membabitkan gabungan dron dan peluru berpandu pelayaran dan ia bukan dilancarkan dari Yaman, di mana militia Houthi disokong Iran mendakwa bertanggungjawab. Iran menafikan pembabitannya.

Bukti secara umum itu konsisten dengan beberapa aspek dakwaan Rumah Putih. Namun pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) tidak menawarkan bukti selain gambar satelit, yang dikatakan penganalisis tidak cukup untuk membuktikan dari mana serangan dilancarkan, jenis senjata yang digunakan dan siapa yang melancarkannya.

Akhbar The New York Times (NYT) menganalisis gambar satelit dikeluarkan pentadbiran Trump, membandingkannya dengan sumber bebas, untuk menentukan apa yang ditunjukkan:

*Kecanggihan serangan jauh melampaui serangan sebelumnya dilakukan Houthi, menambah kemungkinan pembabitan langsung Iran.

*Gambar satelit sendiri tidak cukup untuk menyokong dakwaan AS bahawa serangan jelas datangnya dari arah Iran atau Iraq.

*Tidak cukup bukti menunjukkan jenis senjata yang digunakan, namun ketepatan serangan konsisten dengan peluru berpandu.

Analisis tentera yang mengkaji perang Yaman berkata, jarak, skala dan kerumitan serangan di kemudahan minyak Arab Saudi jauh melebihi mana-mana keupayaan ditunjukkan pemberontak Houthi sebelum ini.

Pihak berkuasa AS mengeluarkan gambar satelit menunjukkan apa yang dikatakan pihak berkuasa sekurang-kurangnya 17 titik impak ke atas dua kemudahan tenaga Arab Saudi, walaupun bukan semua serangan mengenai sasaran.

Dalam satu kemudahan, Abqaiq, imej satelit menunjukkan kerosakan kepada tangki simpanan dan sebuah kereta api pemprosesan.

Serangan awal pagi Sabtu lalu menjejaskan lebih separuh pengeluaran minyak mentah pengeksport utama minyak dunia tu, lima peratus daripada bekalan global dan mengurangkan pengeluaran sehingga 5.7 juta tong sehari.

Pada 2015, Arab Saudi melancarkan satu kempen untuk cuba menyekat rampasan Houthi ke atas Yaman. Perang itu mengorbankan ribuan orang awam dan meletakkan 12 juta berisiko kebuluran, namun gagal menghentikan Houthi daripada mengawal ibu kota Sanaa dan majoriti negara itu.

Walaupun Houthi sering menggunakan dron untuk cuba menyerang Arab Saudi, mereka biasanya bergantung kepada Samad 3, dron murah, kecil, lambat dan tidak tepat yang mustahil menembusi pertahanan udara Arab Saudi serta mencapai sasaran dengan ketepatan dan koordinasi dilihat hujung minggu lalu.

Terbaharu, mereka menggunakan dron lebih maju, Quds 1. Ia disifatkan sebagai peluru berpandu pelayaran kecil atau dron besar dengan beban bersamaan sebuah peluru berpandu pelayaran.

Penganalisis berkata, jenis peluru berpandu itu digunakan Houthi untuk menyasar Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di selatan Arab Saudi beberapa bulan lalu namun Quds 1 tidak mampu untuk terbang dari utara Yaman ke kemudahan minyak di Arab Saudi.

Jarak, skala dan ketepatan serangan terbaharu termasuk berjaya menembusi pertahanan udara Arab Saudi dan mengelak halangan seperti jaringan kuasa dan menara komunikasi, jauh melangkaui apa yang pernah dilakukan Houthi.

Namun, sesetengah pakar keselamatan berkata, Houthi berupaya memperbaiki keupayaan dron mereka dan peluru berpandu pelayaran, dalam apa dikatakan pihak berkuasa AS bantuan penting daripada Iran.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran melatih proksi militianya di rantau itu dari Lubnan sehingga ke Yaman dalam perang canggih menggunakan dron.

Selepas peluru berpandu Houthi menyasar Arab Saudi dipintas, Iran berusaha melatih Houthi dalam teknologi dron, membawa kumpulan itu ke Iran untuk menguasai cara pemasangan, mengurus dan membaik pulih dron.

Dalam pada itu, menerusi rangkaian Al Jazeera, Russia bersedia membantu Arab Saudi susulan serangan kemudahan minyaknya jika diperlukan, kata Presiden Russia, Vladimir Putin selepas rundingan bersama pemimpin Turki dan Iran di Ankara serta mencadangkan senjata negaranya untuk dibeli.

“Kami bersedia menyediakan bantuan kepada Arab Saudi dan sudah cukup jika kepimpinan politik Arab Saudi membuat keputusan bijak, seperti mana dilakukan pemimpin Iran apabila membeli sistem pertahanan udara S-300 dan ketika Presiden Turki (Recep Tayyip Erdogan) membeli S-400 ‘Triump’ dari Russia,” kata Putin.

Katanya, senjata Russia itu dapat melindungi mana-mana kemudahan Arab Saudi. -Agensi

Berita Harian X