Rabu, 18 September 2019 | 11:54am
Penduduk di Galvaston Texas mengisi beg pasir untuk dijadikan benteng penghadang banjir. -Foto Agensi

Ribut tropika Imelda hampiri Houston

TEXAS: Ribut tropika Imelda menyerang Houston, Amerika Syarikat (AS) malam semalam, membawa hujan lebat dan amaran ‘banjir kilat mengancam nyawa’ serta menyebabkan beberapa sekolah membatalkan kelas.

Pusat Taufan Nasional (NHC) berkata, Imelda dijangka membawa antara 15 hingga 30 sentimeter (cm) hujan ketika ia bergerak perlahan ke rantau itu. Sehingga 46 cm hujan dijangka turun di beberapa tempat, kata pusat berkenaan.

“Keadaan perjalanan lebih berbahaya waktu malam dan banjir dijangka berlaku di kawasan bandar, rendah dan pengairan tidak lancar,” kata Perkhidmatan Kaji Cuaca di sini di Twitter tengah hari semalam.

Pakar kaji cuaca meramalkan, hujan lebat berterusan sehingga malam Khamis, menurut Space City Weather, laman web cuaca Houston.

Sekolah Swasta Galveston dan Sekolah Daerah Texas berkata, mereka membatalkan sesi persekolahan hari ini. Daerah persekolahan lain di Houston berkata, mereka memantau ramalan cuaca sebelum membuat keputusan.

Kawasan itu sedang daripada serangan Taufan Harvey yang menyerang bandar itu sebagai ribut tropika pada Ogos 2017. Hujan lebat, angin kencang dan puting beliung meranapkan keseluruhan kawasan.

Di bahagian timur, Taufan Humberto menjadi ribut Kategori 3 dan dijangka menyerang Bermuda tengah hari ini, menurut NHC.

“Angin dijangka mencapai kekuatan ribut tropika menjelang tengah hari Rabu, menjadikan persediaan luar sukar atau berbahaya. Persediaan melindungi nyawa dan harta benda seharusnya dipercepatkan,” kata pusat berkenaan.

NHC berkata, pusuan ribut dan ombak besar mungkin membawa banjir di tepi pantai malam ini di sepanjang pantai selatan Bermuda. -NYT

Berita Harian X