Selasa, 1 Oktober 2019 | 8:30am
Brian Mulkeen

Polis New York maut ditembak rakan sekerja

NEW YORK: Seorang pegawai polis di bandar raya New York maut ditembak rakan sendiri semasa menyiasat aktiviti kumpulan penjenayah di Bronx, Ahad lalu.

Pegawai Brian Mulkeen, 33, adalah anggota polis kedua yang maut ditembak oleh rakan sekerja semasa melakukan tugasan pada tahun ini.

“Ia adalah kes menyayat hati dan tidak berlaku sebarang kesilapan, kami kehilangan seorang anggota yang berani dan meletakkan diri dalam situasi bahaya demi berkhidmat untuk orang awam,” kata Pesuruhjaya Jabatan Polis New York, James O’Neill.

Katanya, insiden berlaku selepas Mulkeen dan dua anggota lain keluar dari kereta peronda untuk menyoal seorang suspek kira-kira jam 12.30 pagi waktu tempatan, Ahad lalu.

Suspek berusia 27 dipercayai melarikan diri serta berlaku aksi kejar mengejar dan pergelutan membabitkan Mulkeen dan rakannya untuk menangkap penjenayah itu.

O’Neill menambah, rakaman video dari kamera badan menunjukkan, dua tembakan dilepaskan rakannya dipercayai terkena Mulkeen dan sepuluh lagi ke atas penjenayah itu.

Mulken dan suspek dikejarkan ke hospital dan kedua-dua mereka telah disahkan meninggal dunia. - Reuters

Berita Harian X