Selasa, 8 Oktober 2019 | 3:48pm
Gambar fail, Setiausaha Agung PBB, António Guterres bercakap pada sesi ke-74 Perhimpunan Agung PBB di New York. - Foto AFP

PBB mungkin kehabisan dana hujung bulan ini - Guterres

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini berdepan defisit AS$230 juta (RM963 juta) dan berkemungkinan kehabisan dana menjelang akhir Oktober ini, kata Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres hari ini.

Dalam satu surat kepada 37,000 kakitangan sekretariat PBB, Guterres berkata langkah tambahan perlu diambil bagi memastikan gaji dan pelbagai lagi hak pekerja dapat dibayar.

“Negara-negara anggota hanya membayar 70 peratus daripada jumlah yang diperlukan untuk anggaran operasi biasa kami pada 2019,” katanya.

Ini mengakibatkan kami kekurangan tunai berjumlah RM963 juta menjelang akhir September. Kami juga berdepan risiko kekurangan simpanan mudah tunai menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Untuk menjimatkan kos, Guterres menangguhkan persidangan dan mesyuarat serta mengurangkan perkhidmatan, selain mengehadkan perjalanan rasmi hanya untuk kegiatan penting. Beliau turut mengambil langkah untuk menjimatkan tenaga.

Awal tahun ini Guterres menyeru negara-negara anggota untuk menambah sumbangan kepada badan dunia itu, tetapi mereka menolak, kata seorang pegawai PBB yang enggan dikenali.

“Tanggungjawab utama untuk memastikan kesihatan kewangan kami terletak di tangan negara anggota,” kata Guterres.

Anggaran operasi PBB sepanjang 2018 hingga 2019 mencecah hampir AS$5.4 bilion (RM22.6 bilion), tidak termasuk apa yang perlu dibayar untuk operasi pengaman.

Amerika Syarikat (AS) menyumbang sebanyak 22 peratus. - AFP

Berita Harian X