Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:17pm
Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang. - Foto AP

China kecam AS senarai hitam 28 entiti China

BEIJING: China mengecam dakwaan Amerika Syarikat (AS) hari ini yang menyenarai hitam 28 entiti yang dituduh melanggar hak etnik minoriti Muslim di Xinjiang, sebagai ‘tidak berasas’.

Terdahulu, Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross mengumumkan langkah menyekat entiti itu, berkata AS ‘ tidak akan bertolak ansur dengan penindasan kejam etnik minoriti di China’.

Namun, Beijing menyuarakan ‘rasa tidak puas hati dan menentang kuat’ senarai hitam itu dan mempertahankan dasarnya di wilayah sempadan barat yang mana kumpulan hak asasi berkata lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti Muslim lain di tahan di kem pendidikan semula.

“Tidak ada masalah seperti apa disebut ‘isu hak asasi manusia’ seperti didakwa AS.

“Tuduhan ini bukanlah satu alasan bagi untuk AS mengganggu hal ehwal dalaman di China,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, hari ini.

Menurut kemas kini dengan Pendaftaran Persekutuan AS yang akan disiarkan esok, firma yang disenaraihitamkan termasuk syarikat video pemantauan, Hikvision, selain syarikat kecerdasan buatan (AI), Megvii Technology dan SenseTime.-AFP.

Berita Harian X