Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:39pm
Gordon Sondland (kanan), yang mendermakan AS$1 juta (RM4.19 juta) kepada jawatankuasa pengisytiharan presiden Republikan akan bertemu secara tertutup dengan tiga jawatankuasa Perwakilan Demokrat.- Foto Agensi

Pendakwaan Trump - Duta AS ke EU disoal, Pentagon, pejabat bajet Rumah Putih disepina

WASHINGTON: Siasatan pendakwaan Kongres terhadap Presiden Donald Trump kini beralih kepada Duta Amerika Syarikat (AS) ke Kesatuan Eropah (EU) dan peranan mungkin dimainkan beliau menggunakan Ukraine bagi menyiasat seteru politik Joe Biden.

Gordon Sondland, yang mendermakan AS$1 juta (RM4.19 juta) kepada jawatankuasa pengisytiharan presiden Republikan akan bertemu secara tertutup dengan tiga jawatankuasa Perwakilan Demokrat.

Siasatan pendakwaan itu memfokuskan dakwaan pembocor bahawa Trump menggunakan bantuan hampir AS$400 juta (RM1.68 juta) untuk mendapatkan janji Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky supaya menyiasat Biden dan anak lelakinya Hunter yang menganggotai lembaga pengarah sebuah syarikat tenaga negara itu.

Kakitangan Jawatankuasa Hal Ehwal Asing, Perisikan dan Pengawasan Kongres dijangka menyoal Sondland untuk mendapatkan penjelasan mengapa beliau terbabit dalam berurusan dengan Ukraine, yang bukan anggota EU.

Sondland adalah pemilik hotel berpusat di Seattle sebelum Trump mencalonkan dirinya sebagai duta pada Mei lalu. Jawatannya disahkan Senat pada Jun dan kelayakannya dikemukakan kepada Suruhanjaya Eropah (EC) pada Julai lalu.

Menurut mesej teks didedahkan pemimpin jawatankuasa Kongres minggu lalu, Sondland terbabit sepenuhnya berhubung dengan Zelenskiy ketika beliau mahukan pertemuan dengan Trump dan pihak berkuasa Ukraine menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan pentadbiran AS menyekat bantuan ketenteraan hampir AS$400 juta kepada Kiev.

Sebagai contoh, dalam satu teks, Sondland menegaskan Trump ‘benar-benar mahu melakukan penghantaran (bantuan).’

Tuduhan bahawa Trump memberi tekanan kepada Zelenskiy dalam panggilan telefon 25 Julai lalu supaya menyiasat Biden, lawan utamanya dalam cubaan pemilihan semula pada 2020, sambil menahan bantuan ketenteraan, menjurus Speaker Kongres Nancy Pelosi mengumumkan siasatan pendakwaan rasmi bulan lalu. Trump menafikan tuduhan itu.

Kebimbangan berhubung panggilan dan ancaman Trump kepada Ukraine, mendapat perhatian Kongres menerusi laporan seorang pembocor. Pada Ahad lalu, peguam berkata, pembocor kedua tampil menyokong aduan terbabit.

Sementara itu, Kongres Demokrat mengeluarkan sepina kepada Pentagon dan pejabat bajet Rumah Putih semalam sebagai sebahagian siasatan lanjut pendakwaan, menuntut dokumen dikaitkan dengan Trump yang menahan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Pengerusi tiga panel Kongres mengetuai pendakwaan terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Perisikan, Adam Schiff; Ketua Panel Hal Ehwal Asing, Eliot Engel dan Ketua Jawatankuasa Pengawasan, Elijah Cummings, sedang mendapatkan maklumat Trump mengugut Ukraine bagi mendedahkan keburukan Biden dan dakwaan menggantung bantuan untuk tujuan itu.

Pengerusi mengarahkan Setiausaha Pertahanan Mark Esper dan Pemangku Pengarah Pejabat Pengurusan dan Bajet, Russell Vought menyerahkan dokumen sebelum 15 Oktober ini.

“Dokumen itu penting untuk diteliti jawatankuasa, alasan di sebalik keputusan Rumah Putih menahan bantuan ketenteraan penting kepada Ukraine yang disokong Kongres untuk melindungi keagresifan Russia,” kata mereka.

Kegagalan mematuhi arahan itu bersamaan menghalang bukti siasatan pendakwaan Kongres, tulis Schiff, Engel dan Cummings.

Minggu lalu pegawai Pentagon secara ‘proaktif’ mengeluarkan satu arahan dalaman untuk menahan dokumen berpotensi dikaitkan siasatan, kata jurucakap Jabatan Pertahanan Jessica Maxwell.

“Seperti mana yang kami nyatakan sebelum ini, kami bersedia bekerja sama dengan Kongres dan pihak berkaitan berhubung persoalan berkaitan isu bantuan Ukraine,” katanya. -AFP

Berita Harian X