Ahad, 13 Oktober 2019 | 6:41pm
Trudeau ketika kempen pilihan raya di Mississauga, Ontario, Kanada. - Reuters
Trudeau ketika kempen pilihan raya di Mississauga, Ontario, Kanada. - Reuters

Trudeau pakai rompi kalis peluru ke kempen pilihan raya

MONTREAL: Pemimpin Kanada, Justin Trudeau memakai rompi kalis peluru dan dilindungi kawalan keselamatan ketat ketika menghadiri satu kempen pilihan raya selepas menerima ugutan, kata sumber kepada stesen penyiar rasmi negara itu, CBC.

Trudeau dilihat mengenakan perisai badan sebelum memakai kemeja dan jaket, selepas muncul satu setengah jam lewat pada perhimpunan yang dihadiri 2,000 penyokong di pinggir ibu kota Toronto hari ini.

Beliau biasanya tidak memakai jaket semasa berkempen.

Sebaik Trudeau meninggalkan pentas untuk beramah mesra dengan penyokong, beliau terus dilindungi petugas keselamatan yang sebahagiannya membawa beg sandang besar.

CBC yang memetik sumber Parti Liberal pimpinan Trudeau berkata, mereka berada di lokasi kempen itu selepas menerima ancaman keselamatan.

Pasukan kempen Perdana Menteri itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut, kata CBC.

Isterinya Sophie Gregoire Trudeau, yang dijadual berada di pentas untuk memperkenalkannya, juga tidak muncul, kata media tempatan.

Sepanjang tempoh kempen pilihan raya, Polis Royal Canadian Mounted akan menyimpan rekod harian mesej berbau kebencian dalam talian yang menyasarkan pemimpin politik, kerana bimbang berlakunya tindakan ganas, kata CBC.

Berbeza dengan Amerika Syarikat (AS) yang pernah berdepan empat pembunuhan presidennya sejak 1865, hampir tiada sejarah membabitkan keganasan politik serius di Kanada.

Namun, pada 1970 sebuah kumpulan radikal yang cuba mendapatkan kemerdekaan dari Quebec, menculik timbalan Perdana Menteri Kanada dan kemudian membunuhnya.

Dalam pada itu, undian pendapat mendapati Liberal terikat dengan pesaing utamanya Konservatif, pimpinan Andrew Scheer.

Scheer berikrar sekiranya menang pada 21 Oktober ini, beliau akan segera menghentikan bantuan yang disifatkannya sebagai subsidi kepada syarikat kaya. - AFP/Reuters

Berita Harian X