Ahad, 3 November 2019 | 1:02pm
OLIVIA Newton-John dan John Travolta menari pada majlis ulang tahun ke-40 penayangan filem Grease di Beverly Hills. - Foto Reuters

Seluar ketat, jaket kulit Olivia Newton-John dilelong RM1.7 juta

LOS ANGELES: Seluar panjang ketat hitam dan jaket kulit yang dipakai pelakon Olivia Newton-John dalam filem ‘Grease’ dijual pada harga $405,700 (RM1.7 juta) pada satu lelongan di Beverly Hills semalam, lebih dua kali ganda harga yang dijangkakan, kata pusat lelongan Julien’s Auction.

Pakaian itu yang menandakan perubahan watak Newton-John dalam filem muzikal 1978 daripada pelajar sekolah tinggi biasa kepada Sandy yang seksi adalah antara 500 barangan untuk jualan bagi membantu mengutip wang bagi pusat rawatan barah pelakon itu di Australia.

Seluar dipakai aktres berkenaan bagi lagu duet dengan pelakon John Travolta, ‘You’re the One That I Want’, amat ketat dan perlu dijahit ketika dipakai untuk adegan filem itu, dan dijual dengan zip rosak.

Pembeli seluar dan jaket itu tidak didedahkan.

Lelongan berjaya memperoleh AS$2.4 juta (RM10 juta) secara keseluruhan, dengan banyak barangan berkaitan filem itu dijual pada harga melebihi jangkaan, kata Julien’s.

Poster ‘Grease’ yang ditandatangani Newton-John, Travolta dan pelakon lain dijual pada harga AS$64,000 (RM266,000) berbanding anggaran cuma AS$1,000 (RM4,100).

Gaun renda merah jambu yang dipakai aktres berkenaan ke tayangan perdana filem itu di Los Angeles terjual pada harga AS$18,750 (RM78,112)

Sementara jaket wanita merah jambu yang diberikan kepada Newton-John oleh pelakon lain dan kru mencecah AS$50,000 (RM104,000), 25 kali ganda daripada anggaran asal.

Pelakon dan penyanyi kelahiran Britain yang dibesarkan di Australia itu, berkata awal tahun ini beliau berjuang menentang barah payudara buat kali ketiga sejak dikesan menghidapnya kali pertama pada 1992. - Reuters

Berita Harian X