Sabtu, 9 November 2019 | 8:44am
Quebec City. - Foto Reuters

Permohonan wanita Perancis ditolak, didakwa tidak fasih bahasa Perancis

MONTREAL: Permohonan seorang wanita Perancis mendapatkan taraf penduduk tetap di Quebec ditolak atas alasan beliau kurang fasih bahasa Perancis.

Emilie Dubois, 31, menetap di wilayah berbahasa Perancis itu sejak 2012, yang menamatkan tesis doktor falsafahnya di Universiti Laval di Quebec City, memulakan perniagaan kecil di wilayah itu malah lulus ujian bahasa.

Namun ia belum cukup meyakinkan pegawai Quebec untuk memberikan sijil imigresen kepadanya yang juga prasyarat memperoleh taraf penduduk tetap.

Menurut surat daripada kementerian imigresen Quebec, permohonan Dubois ditolak kerana tidak melengkapkan karangan dalam bahasa Perancis sepenuhnya.

Satu bab dalam tesis beliau mengenai selular dan biologi molekul ditulis dalam bahasa Inggeris kerana artikel disiarkan dalam jurnal saintifik.

Namun empat bab lain ditulis dalam bahasa Perancis.

“Ia tidak masuk akal tetapi percaya ada orang membuat kesilapan.

“Anda cuma perlu melihat realiti banyak perkara, bukan menganggap kami cuma kotak, fail, nombor tetapi manusia sebenar dan jika ada keraguan, mereka boleh bertemu kami,” kata Dubois.

Menteri Imigresen Quebec, Simon Jolin-Barrette, dilaporkan menyedari kes itu dan meminta untuk menyemaknya.

Perancis adalah bahasa rasmi kerajaan, perdagangan dan mahkamah di Quebec, bekas jajahan Perancis yang diserahkan kepada Britain pada 1763.

Namun wilayah ramai penduduk Perancis itu berhadapan kritikan kerana tegas mempertahankan bahasa Moliere itu. —AFP

Berita Harian X