Khamis, 14 November 2019 | 8:23pm

Mayat lelaki ditemui dalam peti sejuk beku

MISSOURI : Polis sedang menyiasat kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di sini, Selasa lalu.

Mayat itu dijumpai sepasukan pegawai Isnin lalu, ketika sedang menyiasat satu kes kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat di kawasan sekitar lokasi.

Pihak berkuasa masih merahsiakan identiti mayat kerana masih menunggu pengesahan waris terdekat.

Tidak dapat dipastikan bagaimana kebakaran dan penemuan mayat itu saling berkait dan pihak polis gagal dihubungi untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Polis menerusi satu kenyataan berkata, mereka masih menyiasat punca kejadian dan sudah mengarahkan proses bedah siasat dilakukan.

“Polis sedang menyiasat satu kejadian kebakaran, sebelum menerima laporan berhubung satu kes lain.

“Laporan itu menyatakan bahawa terdapat seorang individu yang sudah meninggal dunia di kediaman jiran,” kata polis.

Siasatan selanjutnya menemui mayat seorang lelaki di dalam peti sejuk beku di kediaman terbabit.

Pada Julai lalu, seorang lelaki menemui mayat bayi yang disimpan dalam sebuah kotak, di peti sejuk beku ketika sedang mengemas rumah mendiang ibunya.

Adam Smith berkata, ibunya yang dikenali sebagai Barbara mengelak dari memberitahu apa yang terkandung dalam kotak itu, selepas beliau berpindah ke kediaman wanita terbabit apabila Barbara didiagnos menghidap kanser. - Agensi

Berita Harian X