Isnin, 25 November 2019 | 2:20pm
Taylor Swift ketika menerima anugerah AMA 2019. -Foto Reuters
Taylor Swift ketika menerima anugerah AMA 2019. -Foto Reuters

Taylor Swift raih AMA selepas kontroversi

LOS ANGELES: Penyanyi Taylor Swift menang satu daripada lima anugerah yang dicalonkan dalam American Music Awards (AMA) semalam, selepas menjadi perhatian sejak seminggu lalu kerana pertelingkahan dengan syarikat rakaman lamanya.

Swift, 29, membawa pulang anugerah untuk album pop/rock bagi album terbaharunya, ‘Lover.’

“Album ini benar-benar seperti permulaan baharu,” kata Swift mengucapkan terima kasih kepada peminatnya.

Dalam anugerah yang diundi peminat, Swift memperoleh lima pencalonan termasuk artis sepanjang tahun. Beliau perlu menang hanya satu lagi pencalonan untuk mengalahkan rekod sepanjang masa AMA Michael Jackson dengan 24 kemenangan.

Swift juga akan menerima anugerah khas, artis sepanjang dekad, namun kemunculannya dibayangi oleh pertelingkahan umum dengan eksekutif industri rekod, Scooter Braun membabitkan isu jika beliau dapat menyanyikan lagu hits lamanya apabila membuat persembahan.

Pertelingkahan itu memuncak dengan Braun, yang memiliki rakaman master untuk enam album pertama selepas Swift menandatangani label baharu tahun lalu, mendakwa minggu lalu keluarganya menerima beberapa ugutan bunuh akibat tuduhan penyanyi pop itu kerana membuli dan tindakan tidak wajar.

Artis lain dicalonkan untuk anugerah tahunan adalah Drake, Ariana Grande, Halsey dan penyanyi rap Post Malone. -Reuters

Berita Harian X