Sabtu, 7 Disember 2019 | 9:19pm
Penyelam warga Britain, Vernon Unsworth (tengah) bersama peguamnya, Mark Stephen (kiri) dan Lin Wood ketika ditemubual media di luar mahkamah di Los Angeles. Foto AFP
Penyelam warga Britain, Vernon Unsworth (tengah) bersama peguamnya, Mark Stephen (kiri) dan Lin Wood ketika ditemubual media di luar mahkamah di Los Angeles. Foto AFP

Elon Musk bebas tuduhan fitnah 'lelaki pedo'

LOS ANGELES: Pengasas bersama Tesla, Elon Musk dibebaskan daripada tuduhan fitnah oleh juri mahkamah di sini, semalam, membabitkan mesej di Twitter apabila menggelar seorang penyelam warga Britain sebagai ‘lelaki pedo (pedofilia)’.

Lelaki yang berbincang kurang daripada sejam sebelum mengumumkan keputusan yang memihak kepada Musk.

Ia sekali gus membebaskannya daripada sebarang liabiliti dalam kes yang dianggap berprofil tinggi, kerana membabitkan Musk dan Vernon Unsworth.

Unsworth memohon ganti rugi kerosakan sebanyak AS$190 juta (RM789.97 juta) daripada jutawan berkenaan, atas alasan mesej di Twitter itu sudah menjejaskan reputasinya.

Dalam pada itu, Musk dilihat memeluk peguamnya, sebaik sahaja keputusan dibacakan dan memberitahu wartawan: “Kepercayaan saya terhadap kemanusiaan kembali pulih”.

Peguam Unsworth, Lin Wood, dalam hujah kepada juri ketika menutup pembelaan berkata, ganti rugi sebanyak AS$190 juta (RM789.97 juta) yang diminta anak guamnya hanyalah ‘satu tamparan pada pergelangan tangan’ Musk.

Katanya, ia bertujuan mengelak Musk daripada melakukan perkara yang sama kepada individu lain.

Beliau yang menganggap usahawan berusia 48 tahun itu, sebagai seorang pembuli, berkata Unsworth adalah lelaki yang mengamalkan hidup sederhana, tetapi kini terdedah kepada publisiti.

Kemarahan Musk terhadap Unsworth bermula dalam satu temubual ketika penyelam berusia 64 tahun itu, menolak tawaran jutawan itu untuk menggunakan kapal selam mini, bagi menyelamatkan anggota pasukan bola sepak yang terperangkap di dalam gua di Thailand pada Julai 2018. AFP

Berita Harian X