Ahad, 5 Januari 2020 | 10:47am
Calon Demokrat, Senator Bernie Sanders berucap di Dewan Bandar di Anamosa, sebuah bandar di Jones County, Iowa, Amerika Syarikat. - Foto AFP

Rumah Putih keluarkan pemberitahuan rasmi serangan di Iraq

WASHINGTON: Rumah Putih semalam menghantar pemberitahuan rasmi kepada Kongres berhubung serangan dron Amerika Syarikat (AS) yang membunuh ketua sayap operasi asing Iran, Pasukan Quds, Qasem Soleimani.

Pembantu kongres berkata, ia susulan aduan diterima daripada ahli Demokrat, yang menyifatkan serangan diluluskan Presiden AS, Donald Trump itu tidak dimaklumkan atau mendapat kelulusan penggubal undang-undang.

Pemberitahuan rasmi itu dihantar menerusi Akta Kuasa Perang, Undang-Undang AS 1973, yang memerlukan pentadbiran AS memaklumkan Kongres dalam tempoh 48 jam, jika melakukan tindakan ketenteraan atau peperangan.

Pentadbiran Trump dijangka memperjelaskan keadaan, kuasa mengikut tindakan yang diambil, skop jangkaan dan tempoh pembabitan tentera. Rumah Putih bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Pemberitahuan yang diserahkan kepada Kongres adalah sulit dan tidak jelas, selain tidak pasti jika Rumah Putih akan mengeluarkan versi umum, kata dua pembantu Ahli Kongres kanan yang enggan identitinya didedahkan.

Semalam, salah seorang calon Demokrat, Senator Bernie Sanders, yang dijangka menentang Trump dalam Pemilihan Presiden pada November ini, berkata Kongres perlu mengambil tindakan segera untuk menghalang Trump daripada terus berperang.

Seorang lagi calon Demokrat, Senator Elizabeth Warren, berkata Trump Sabtu lalu sudah meletakkan AS hampir kepada peperangan, selain menyifatkan serangan itu sebagai melulu dan dibuat tanpa perancangan.

Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi, berkata serangan di Baghdad dibuat tanpa kebenaran khusus dan 'tanpa perbincangan dengan Kongres'.

Kelmarin, Pentagon memberi taklimat kepada Senat dan Kongres mengenai serangan serta perkembangan terkini di Iraq, selain Senator Tim Kaine dari Virginia mengemukakan resolusi mendesak Kongres berdebat serta mengundi berhubung peningkatan permusuhan dengan Iran.

Senator Chris Murphy daripada Demokrat di laman Twitternya, berkata adalah tidak masuk akal untuk memberi Presiden kuasa penuh bagi mengambil tindakan ketenteraan, jika AS di ambang peperangan. - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X