Selasa, 14 Januari 2020 | 12:54pm
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berucap pada majlis peringatan mangsa pesawat penumpang Ukraine yang terhempas di Iran, di Universiti Alberta Edmonton, Alberta, Kanada. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berucap pada majlis peringatan mangsa pesawat penumpang Ukraine yang terhempas di Iran, di Universiti Alberta Edmonton, Alberta, Kanada. - Foto REUTERS

Tindakan AS memburukkan ketegangan dengan Iran punca pesawat ditembak - Trudeau

OTTAWA: Tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) memburukkan ketegangan dengan Iran menyebabkan pesawat Boeing 737 milik Ukraine International Airlines (UIA) ditembak.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata jika tidak kerana ketegangan yang memuncak itu, penumpang pesawat terbabit kini akan berada bersama keluarga mereka.

“Masyarakat antarabangsa sememangnya amat jelas menyatakan pendirian Iran harus hentikan pembangunan senjata nuklear.

“Pada masa sama, ketegangan di Asia Barat yang berpunca daripada tindakan AS juga harus dikawal,” katanya dalam temu bual dengan stesen televisyen Global.

Pesawat UIA itu terkena tembakan peluru berpandu sejurus berlepas dari Tehran, mengakibatkan semua 176 penumpang dan kru terbunuh termasuk 57 warga Kanada, kebanyakannya memiliki dua kerakyatan dengan turut memiliki pasport Iran.

Ketegangan AS-Iran memuncak berikutan serangan dron AS yang membunuh komander tertinggi Iran, Qassem Soleimani, berhampiran lapangan terbang Baghdad.

Iran membalas dengan serangan peluru berpandu terhadap dua markas tentera AS di Iraq dan tidak lama selepas itu, tentera Iran tersilap tembak pesawat UIA.

Tragedi itu amat menjejaskan masyarakat Iran di Kanada, yang menempatkan diaspora terbesar dari negara itu di Amerika Utara dan berdasarkan bancian 2016, terdapat kira-kira 210,000 warga Kanada berketurunan Iran di sana. - AFP

Berita Harian X