Jumaat, 3 April 2020 | 4:26pm
Keranda dibawake tanah perkuburan dengan menggunakan trak, di Guayaquil, Ecuador. - Foto AFP
Keranda dibawake tanah perkuburan dengan menggunakan trak, di Guayaquil, Ecuador. - Foto AFP

COVID-19: Askar kumpul 150 mayat mangsa wabak

QUITO: Tentera dan polis di Ecuador mengumpulkan sekurang-kurangnya 150 mayat dari jalanan dan rumah di bandar pelabuhan Guayaquil sejak tiga hari lalu.

Malah pihak kerajaan turut memberi amaran sekurang-kurangnya 3,500 orang akan mati disebabkan oleh COVID-19 di wilayah berkenaan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Penduduk di Guayaquil, sebelum ini sudah memuat naik video di media sosial mengenai mayat-mayat yang terbiar di jalanan, selain meninggalkan mesej terdesak kepada pihak berkuasa untuk membantu membawa mayat yang sudah mati di rumah.

Dalam pada itu, jurucakap kerajaan, Jorge Wated, turut memohon maaf di televisyen kerana pekerja mayat tidak berupaya melakukan tanggungjawab itu memandangkan perintah berkurung akibat pandemik itu.

"Kami mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada mereka yang terpaksa menunggu orang yang disayangi untuk diambil dan dikebumikan," kata Wated.

Ecuador adalah negara Amerika Latin yang turut terkesan teruk selepas Brazil, dengan sekurang-kurangnya 3,160 terkena jangkitan dan 120 kematian sehingga semalam, manakala Guayaquil di sekitar wilayah Guayas mempunyai 70 peratus daripada jangkitan COVID-19.

Namun, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan kematian yang berlaku adalah berpunca daripada COVID-19.

Wated berkata, pihak kerajaan kini bersedia berdepan hari yang sukar dan pakar perubatan pula menganggarkan kematian akan meningkat kepada 2,500 hingga 3,500 pada bulan ini hanya di wilayah Guayas sahaja.

Sementara itu, pekerja mayat memakai topeng muka dan baju perlindungan dilihat membawa keranda berbungkus plastik.

"Kita melakukan begitu supaya setiap yang mati dikebumikan dengan bermaruah di ruang masing-masing," kata Wated yang mana tapak perkuburan dikendalikan kerajaan mempunyai kapasiti sehingga 2,000. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X