Selasa, 7 April 2020 | 3:52pm
Gereja St John the Divine. - Foto The New York Times
Gereja St John the Divine. - Foto The New York Times

COVID-19: Gereja jadikan hospital di New York

NEW YORK: Sebuah gereja yang luas dijadikan hospital lapangan bagi menempatkan pesakit ketika penularan pandemik COVID-19 semakin memuncak.

Gereja St John The Divine, yang terletak di Manhattan, menempatkan sembilan khemah perubatan yang mempunyai kawalan fungsi cuaca, berukuran 18,288 sentimeter (600 kaki) panjang dan berbentuk separa bulat.

Kata pengurus gereja berkenaan, khemah itu mampu memuatkan sekurang-kurangnya 200 pesakit, menggambarkan luas saiz pusat ibadat Kristian terbesar di dunia itu.

"Dalam abad terdahulu, gereja lazimnya digunakan untuk tujuan sebegini terutama ketika penularan sesuatu wabak.

“Cuma apabila ia dijadikan hospital sementara, ia perkara baru kepada kami,” katanya.

Pesakit COVID-19 dijangka tiba di gereja berkenaan dalam masa seminggu ini.

Hospital lapangan itu akan menempatkan petugas kesihatan dari Hospital Mount Sinai Morningside, yang terletak bersebelahan kompleks gereja.

Jumlah kematian di Amerika Syarikat (AS) sudah mencecah 10,000 semalam dan pihak berkuasa memberi amaran keadaan akan menjadi lebih buruk beberapa minggu ini.

Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di Baltimore, dipetik sebagai berkata, lebih daripada 368,000 kes disahkan di AS dengan 10,986 kematian lewat semalam. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X