Selasa, 7 April 2020 | 5:19pm
PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan. - Foto AFP
PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan. - Foto AFP

CEO Zoom mohon maaf susulan isu privasi dan keselamatan

SAN FRANCISCO: Aplikasi Zoom memohon maaf kepada jutaan pengguna aplikasi sidang videonya selepas dikritik hebat berhubung pelbagai isu kerahsiaan yang timbul ketika ia muncul sebagai jaringan sosial dan profesional utama global.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan, menulis permohonan maaf itu melalui blognya Rabu lalu.

“Kami sedar akan kegagalan terhadap seluruh masyarakat terutama jangkaan mereka terhadap kerahsiaan dan keselamatan, saya benar-benar memohon maaf,” katanya.

Yuan menjelaskan, dalam tempoh 90 hari ini, Zoom tidak akan menambah ciri baharu, sebaliknya lebih menumpukan kepada isu kerahsiaan berikutan peningkatan penggunaan sejak penularan wabak COVID-19.

Katanya, Zoom juga akan mengeluarkan laporan telus, seperti dikongsikan syarikat teknologi gergasi seperti Facebook (FB), Google (GOOGL) dan Twitter (TWTR) yang memperincikan setiap permohonan data atau kandungan daripada pihak kerajaan.

Dalam tempoh penularan wabak COVID-19 ini, jutaan masyarakat tinggal di rumah dan memanfaatkan aplikasi Zoom yang mendapat pujian ramai kerana ciri dan pelbagai kegunaan.

Menurut Yuan, Zoom dimanfaatkan oleh 200 juta pengguna setiap hari terutama bagi tujuan mesyuarat sepanjang bulan Mac lalu.

Orang ramai menggunakan aplikasi sidang video itu untuk hampir semua urusan termasuk sambutan hari jadi, program keagamaan, bahkan mesyuarat Kabinet kerajaan United Kingdom turut dibuat melalui Zoom.

Awal minggu ini, Peguam Negara New York dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) melakukan siasatan terhadap aplikasi Zoom, yang berdepan pelbagai persoalan diajukan pakar keselamatan mengenai tahap enkripsi.

Zoom juga memohon maaf kerana mendakwa menawarkan enkripsi menyeluruh bagi semua persidangan secara maya dan menegaskan semua kandungan dalam sesuatu sidang secara maya hanya boleh diakses oleh pesertanya saja.

Namun, ada pakar mempertikaikan keupayaan Zoom menawarkan tahap enkripsi yang begitu tinggi dan mendakwa apa yang ditawarkan syarikat itu boleh diakses oleh syarikat lain menggunakan pentas yang sama.

Ketua Produk Zoon, Oded Gal, dalam laman blog beliau rabu lalu, berkata Zoom tidak meneliti enkripsi atau maklumat mana-mana penggunanya jika semua peserta sidang secara maya hadir dan ia tidak dirakam.

“Enkripsi penuh tidak mungkin dilakukan jika ada peserta yang menyertai persidangan melalui telefon bimbit atau menggunakan alat perantaraan lain.

"Sememangnya bukan niat kami untuk memperdaya mana-mana pelanggan, kami sedar wujud pertikaian mengenai apa yang secara umum diterima sebagai enkripsi penuh dan bagaimana ia digunakan,” katanya.

Zoom, yang menghadapi banyak isu berkaitan kerahsiaan, turut berdepan dua tindakan undang-undang berkaitan cirinya yang berkongsi beberapa data pengguna dengan Facebook. – AGENSI

Berita Harian X