Khamis, 9 April 2020 | 2:42pm
Robot turut digunakan di hospital di Thailand untuk membantu petugas perubatan yang merawat pesakit COVID-19. - FOTO AFP
Robot turut digunakan di hospital di Thailand untuk membantu petugas perubatan yang merawat pesakit COVID-19. - FOTO AFP

COVID-19: Robot semakin diharapkan untuk perangi pandemik

SAN FRANCISCO: Selepas sekian lama dianggap negatif sebagai pencuri kerja dan mengambil alih peranan manusia, robot kini semakin diharapkan atas kemampuan menjadi juara yang cekap, pantas dan kebal jangkitan virus dalam usaha memerangi COVID-19.

Sepasukan robot membantu menjaga pesakit di sebuah hospital sementara di Wuhan, iaitu bandar di mana wabak itu tercetus di China.

Mesin berkenaan menghidangkan makanan, mengambil suhu pesakit dan mengendalikan komunikasi, termasuk sebuah robot dinamakan ‘Cloud Ginger’ oleh pengeluarnya, CloudMinds, yang beroperasi di Beijing serta California.

Presiden CloudMinds, Karl Zhao, berkata robot ‘humanoid’ itu memberikan maklumat berguna dan mampu terbabit dalam perbualan serta hiburan dengan menari, malah membantu pesakit menjalani senaman regangan.

“Hospital lapangan pintar dikendalikan sepenuhnya oleh robot,” katanya.

Sebuah pasukan perubatan kecil mengawal robot hospital lapangan berkenaan dari jauh, manakala pesakit pula memakai gelang tangan yang mengumpulkan data tekanan darah dan maklumat penting lain.

Klinik pintar terbabit hanya mengendalikan pesakit selama beberapa hari.

Bagaimanapun, ia mencetuskan ramalan masa depan berhubung penggunaan robot untuk menjaga penghidap penyakit berjangkit, sementara petugas penjagaan kesihatan pula menguruskan dari jarak yang selamat.

Pesakit di hospital sekitar Thailand, Israel dan tempat lain bertemu robot untuk mendapatkan khidmat runding oleh doktor melalui sidang video.

Malah, sesetengah robot perunding melakukan tugas pemeriksaan klasik seperti mendengar bunyi paru-paru pesakit ketika bernafas.

Hospital Alexandra di Singapura akan menggunakan robot dipanggil BeamPro untuk menghantar ubat dan makanan kepada pesakit yang didiagnosis dengan COVID-19 atau mereka yang disyaki dijangkiti virus itu di wad pengasingan.

Doktor dan jururawat boleh mengawal robot dengan menggunakan komputer dari luar bilik, serta berbual dengan pesakit melalui skrin dan kamera.

Pengarah Inovasi Kesihatan Hospital Alexandra, Alexander Yip, berkata kepada saluran berita tempatan CNA, penggunaan robot mengurangkan ‘titik sentuhan’ dengan pesakit yang diasingkan, sekali gus menurunkan risiko yang dihadapi pekerja penjagaan kesihatan.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (AS) pula, mesin robotik juga boleh digunakan untuk mengimbas kewujudan virus, seperti ketika kabin kapal persiaran Diamond Princess diperiksa sebagai langkah keselamatan, beberapa minggu selepas penumpang yang dijangkiti dipindahkan keluar.

Selain itu, hospital turut beralih kepada robot untuk kerja berterusan nyah cemar bilik, dewan dan pemegang pintu daripada virus serta bakteria.

Pengarah Hubungan Media Xenex, Melinda Hart, berkata firma AS itu menerima peningkatan permintaan untuk robot yang menjalankan kerja nyah cemar bilik.

Beliau berkata, robot LightStrike keluaran Xenex digunakan di lebih 500 kemudahan penjagaan kesihatan, dengan bilangan mesin dikerahkan itu meningkat berikutan pandemik COVID-19.

“Kami menerima permintaan dari seluruh dunia.

“Bukan saja hospital, kami turut dihubungi oleh pusat penjagaan segera, hotel, agensi kerajaan dan syarikat farmaseutikal untuk keperluan nyah cemar,” katanya.

Pengasas bersama Shark Robotics di Perancis, Cyril Kabbara, pula berkata pihaknya menguji unit dekontaminasi sejak kira-kira sebulan lalu dan sudah mula menerima tempahan.

Pengarah Penyelidikan Persatuan Teknologi Pengguna AS, Lesley Rohrbaugh, memaklumkan bahawa pandemik COVID-19 menyebabkan inovasi robotik berkembang pesat.

“Kita sedang berada dalam masa di mana beberapa teknologi ini diperlukan. Justeru, manfaat dilihat melebihi kos,” katanya.

Bagaimanapun, Rohrbaugh menjelaskan, kepintaran buatan (AI), pengimbas dan keupayaan lain dibina pada robot boleh menaikkan harga, seperti peningkatan sambungan Internet berkelajuan tinggi yang sering diperlukan mesin.

Inovasi bakal menyusul termasuklah penggunaan dron dilengkapi pengimbas dan kamera untuk menyaring orang ramai yang menunjukkan simptom jangkitan COVID-19.

Sebuah pasukan di University of South Australia sedang mengusahakan inovasi itu dengan kerjasama pembuat dron Kanada, Draganfly.

Profesor universiti, Javaan Singh Chahl, berkata ia akan digunakan untuk mengenal pasti kemungkinan wujudnya virus itu dengan membuat pemerhatian terhadap manusia.

“Ia mungkin menjadi sebahagian daripada sistem amaran awal atau untuk mendapatkan statistik orang yang terkesan dalam satu populasi,” katanya,

Pasukan beliau sedang mengusahakan algoritma komputer yang mampu mengesan bersin atau batuk, seperti di terminal lapangan terbang, dan boleh mengukur denyutan nadi serta suhu orang ramai dari jauh. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X