Isnin, 18 Mei 2020 | 1:43pm
Gambar fail wanita puak Waorani pada Jun 2019. - FOTO AFP
Gambar fail wanita puak Waorani pada Jun 2019. - FOTO AFP

COVID-19: Kes pertama dikesan dalam puak Orang Asli Amazon

QUITO: Kes COVID-19 yang pertama telah dikesan dalam salah satu puak Orang Asli Amazon di Ecuador, kata Kementerian Kesihatan, semalam.

Pertubuhan Waorani - bercakap melalui GO Perikatan untuk Hak Asasi Manusia di Ecuador (DDHH) – memberi amaran bahawa penularan wabak itu boleh menjadi 'malapetaka dan sangat mengancam nyawa' kepada masyarakat mereka.

Kes pertama dilaporkan dalam puak Waorani itu membabitkan seorang wanita mengandung berusia 17 tahun yang mula menunjukkan simptom pada 4 Mei lalu, kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.

Pesakit terbabit kemudian dibawa ke sebuah hospital di ibu kota ini dan ditempatkan dalam pengasingan, menurut kenyataan itu lagi tanpa memberikan butiran lanjut.

Kerajaan Persekutuan - dengan kerjasama pemimpin Orang Asli - melakukan pemeriksaan terhadap 40 kontak wanita terbabit dalam kalangan masyarakat Miwaguno yang mempunyai 140 penduduk.

"Seramai 17 penduduk dengan sejarah masalah sistem pernafasan telah dikesan. Setakat ini, enam daripada mereka mempunyai simptom.

"Justeru, 20 ujian pantas dan tujuh calitan 'nasopharyngeal' telah dilakukan," kata kementerian itu tanpa mendedahkan keputusan saringan kesihatan berkenaan.

Ecuador, antara negara paling terkesan dengan COVID-19 di Amerika Latin, sedang menjalani perintah berkurung yang kini memasuki bulan kedua bagi mengekang penularan wabak itu.

Setakat ini, Ecuador melaporkan kira-kira 33,000 kes jangkitan dengan lebih 2,700 kematian akibat COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X