Isnin, 18 Mei 2020 | 7:29pm
Ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Soumya Swaminathan.
Ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Soumya Swaminathan.

COVID-19 tidak dihasilkan di makmal - WHO

WASHINGTON: COVID-19 tidak dihasilkan makmal, sebaliknya virus ini berlaku secara semula jadi dan sudah dibuktikan ia tidak disintesis di makmal.

Ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Soumya Swaminathan, berkata pakar sains cukup jelas mengenai hal itu, kerana terdapat penanda dalam genom sekiranya ia adalah gen yang disintesis.

Bagaimanapun, Dr Swaminathan enggan mengulas lanjut mengenai teori dikemukakan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, yang mengaitkan wabak COVID-19 berasal dari sebuah makmal di Wuhan, China.

"Kami tahu kemungkinan besar wabak ini berasal dari kelawar. Apa yang belum diketahui adalah bagaimana dan bilakah ia berpindah dari kelawar kepada manusia dan apakah haiwan perantaraan ini.

"Selain itu, ketika kejadian berlaku, adakah ia berlaku sekali saja atau dalam bentuk bersiri. Perkara inilah yang masih diselidiki oleh saintis," katanya dalam satu temubual bersama The Straits Times.

Beliau turut berharap kerjasama peringkat antarabangsa dapat dipertingkatkan kerana ia boleh dijadikan garis panduan bagi masa depan selain bersedia dengan langkah untuk mengelakkan penularan virus seumpamanya.

"Kami sedang menjalankan perbincangan dengan kerajaan China bagi mewujudkan kumpulan kajian peringkat antarabangsa bersama penyelidik mereka bagi memahami pandemik ini dengan lebih terperinci," katanya.

Dr Swaminathan berkata demikian sebelum berlangsungnya mesyuarat tahunan Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) secara maya hari ini. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X