Jumaat, 10 Julai 2020 | 9:28am
TEDROS Adhanom Ghebreyesus. - Foto/AFP
TEDROS Adhanom Ghebreyesus. - Foto/AFP

WHO lancar siasatan tindak balas global pandemik COVID-19

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikritik di peringkat awal krisis coronavirus, semalam melancarkan semakan bebas terhadap tindak balas global susulan pandemik itu.

Mengumumkan perkara itu yang akan dibentangkan Mei tahun depan, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata semakan itu akan membantu dunia untuk menangani krisis itu pada masa depan.

Panel Bebas Untuk Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Pandemik itu akan diketuai bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark dan bekas Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf.

"Menerusi kamu (panel bebas), dunia akan memahami apa sebenarnya yang terjadi dan juga penyelesaian bagi membina masa depan yang lebih baik sebagai kesatuan kemanusiaan," kata Tedros di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Pada persidangan terakhir Mei lalu, negara anggota WHO bersetuju dengan resolusi dibentangkan Kesatuan Eropah (EU), yang menggesa 'penilaian adil, bebas dan komprehensif bagi meneliti pengalaman diperoleh dan pengajaran daripada tindak balas kesihatan antarabangsa dikoordinasi WHO terhadap COVID-19'.

Resolusi itu menyatakan siasatan berkenaan perlu meneliti 'tindakan WHO dan garis masa membabitkan pandemik COVID-19.'

Pada waktu itu, WHO dikritik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menggugur akan menarik keahlian Washington daripada badan itu, dan menuduh WHO gagal dalam menguruskan pandemik berkenaan serta menjadi 'boneka China'.

Selasa lalu, AS secara rasmi memulakan langkah pengunduran daripada WHO, selaras ugutan Trump untuk tidak lagi membiayai badan itu, langkah yang mendapat kritikan hebat daripada kumpulan kesihatan awam serta musuh politik Trump.

Tedros turut membidas perpecahan dalam kalangan komuniti antarabangsa dan memberi amaran mengenai kesan daripada perpecahan itu.

"Jangan salah faham, ancaman sebenar yang dihadapi ketika ini bukanlah virus itu, tetapi kelemahan kepemimpinan dan solidariti di peringkat global dan nasional.

"Kita tidak akan mampu menewaskan pandemik ini jika dunia berpecah. Virus ini akan berkembang dengan perpecahan, namun tumpas bila kita bersatu," katanya.

Pandemik coronavirus itu sudah meragut lebih 550,000 nyawa di seluruh dunia, dengan hampir 12.1 juta individu dijangkiti sejak ia mula dikesan di China akhir Disember tahun lalu, menurut kiraan AFP setakat semalam.

Panel bebas itu akan mengadakan taklimat misi bulanan bagi memaklumkan perkembangan terkini siasatan, dan akan membentangkan laporan interim di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) pada November, disusuli laporan penuh di WHA pada Mei 2021. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X