Selasa, 25 Julai 2017 | 3:28pm

Ogos, September ancaman kebakaran di Indonesia

JAKARTA: Agensi Pencegahan Bencana Indonesia (BNPB) memberi amaran ancaman kebakaran hutan meningkat berikutan kedatangan musim panas kering beberapa bulan akan datang.

BNPB berkata, wilayah Aceh sudah dikesan mencatat tompok panas susulan kebakaran hutan seluas 64 hektar di wilayah utara pulau Sumatera itu, menyebabkan jerebu dan sesetengah penduduk terpaksa dibawa ke hospital akibat masalah pernafasan.

"Kemuncak musim panas kering diramalkan berlaku pada Ogos dan September, justeru ancaman kebakaran hutan dan padang serta kemarau akan bertambah buruk, " kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataan, hari ini.

Kebakaran di Aceh bermula Selasa minggu lalu dan pihak berkuasa masih cuba memadamnya di sesetengah kawasan.

Sementara itu, Nugroho berkata, imej satelit menunjukkan 170 tompok panas di seluruh Indonesia sehingga petang semalam.

Indonesia kerap dilanda kebakaran hutan menyebabkan asap jerebu bertiup di seluruh negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.

Bank Dunia, memetik data kerajaan berkata, kira-kira 2.6 juta hektar tanah di Indonesia terbakar antara Jun dan Oktober 2015, menyebabkan kerugian ekonomi dianggar bernilai AS$16 bilion (RM68.46 bilion).

Reuters

Berita Harian X