X
Rabu, 30 Ogos 2017 | 1:24am
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (kiri) dan mendiang diktator Ferdinand Marcos.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (kiri) dan mendiang diktator Ferdinand Marcos.

Duterte umum waris Marcos sedia serah emas, harta

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, berkata waris mendiang diktator Ferdinand Marcos membuat tawaran untuk mengembalikan sebahagian kekayaan keluarga itu yang dipertikaikan kepada kerajaan, termasuk beberapa jongkong emas.

Marcos dan isterinya Imelda sebelum ini dituduh 'menggelapkan' kira-kira AS$10 bilion (RM42.7 bilion) wang milik kerajaan sepanjang 20 tahun pemerintahannya sebagai Presiden Filipina.

Bagaimanapun, pemberontakan kuasa rakyat pada 1986 memaksa Marcos dan keluarganya hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan bahawa Duterte, yang juga sekutu Marcos, akan memansuh agensi kerajaan yang bertanggungjawab mendapatkan semula kira-kira AS$3.4 bilion (RM14.5 bilion) daripada Marcos dan keluarganya.

Duterte ketika berucap kepada kakitangan kerajaan berkata: "Mereka (keluarga Marcos) memberitahu saya bahawa mereka akan membuka segala-galanya dan mungkin akan mengembalikan apa yang ditemui".

Namun, Duterte tidak mendedahkan nama ahli keluarga Marcos yang bertemu dengan beliau, jumlah harta yang ditawarkan dan syarat yang ditetapkan oleh mereka. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X