Selasa, 19 September 2017 | 1:26pm
POLIS menggunakan meriam air terhadap orang ramai yang berkumpul semasa demonstrasi anti-komunis di Jakarta, Indonesia. - Foto Reuters

Indonesia tahan 22 perusuh

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan 22 orang perusuh lewat semalam selepas bertempur dengan polis ketika menyertai protes anti-komunis di ibu kota ini.

Kerajaan Presiden Joko Widodo berusaha untuk memperbetulkan persepsi rakyat berhubung tragedi berdarah pembersihan anti-komunis 1965, antara episod paling gelap dalam sejarah negara itu yang mengakibatkan kira-kira 500,000 orang terbunuh.

"Orang ramai tidak boleh bertindak sendiri, mereka perlu patuh kepada penguatkuasaan undang-undang," kata Widodo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas rusuhan itu.

Komunisme diharamkan di Indonesia dan mana-mana pihak yang bersimpati akan dicurigai dan dimusuhi, terutama oleh nasionalis dan aktivis Islam.

Lima anggota polis cedera dalam pertempuran apabila sekumpulan 200 penunjuk perasaan berkumpul di luar Yayasan Bantuan Perundangan di Jakarta pusat, yang mengadakan seminar mengenai pembunuhan pada 1965 hujung minggu lalu.

Penunjuk perasaan melemparkan batu dan botol air dan polis menembak meriam air serta gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai, menurut media.

- Reuters

Berita Harian X