Rabu, 2 Mei 2018 | 11:05pm
KAPTEN Polis, Moe Yan Naing. - Foto AFP

Polis Myanmar sah perangkap wartawan Reuters

YANGON: Seorang hakim di Myanmar mengisytiharkan dakwaan seorang saksi bahawa dua wartawan Reuters diperangkap polis Myanmar sebagai boleh diterima pakai.

Ia memberikan tamparan hebat kepada pendakwa raya dalam kes yang dilihat sebagai penentu undang-undang kebebasan media di negara itu.

Dua wartawan itu berdepan tuduhan memiliki dokumen rahsia negara.

Peguam bela, Khin Maung Zaw berkata, hakim menerima kenyataan Kapten Polis, Moe Yan Naing yang memaklumkan seorang pegawai polis kanan mengarahkan anggota beliau 'memerangkap' salah seorang daripada dua wartawan.

Difahamkan, mereka diberkas pada Disember lalu.

Katanya, hakim mengarahkan polis membawa Moe Yan Naing ke perbicaraan seterusnya pada 9 Mei depan, selepas seorang pegawai polis memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak hadir kerana dihukum penjara setahun, minggu lalu kerana melanggar Akta Disiplin Polis.

"Kita perlu bertanya lebih banyak soalan terhadap beliau," kata Hakim Ye Lwin kepada Kapten Polis, Myo Lwin, iaitu salah seorang pegawai polis yang mengiringi dua wartawan ke mahkamah, ketika akhir perbicaraan.

Pendakwa raya sebelum ini memanggil Moe Yan Naing supaya memberi kenyataan terhadap Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, namun terpaksa memohon mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai saksi tidak boleh dipercayai.

Tindakan itu dilakukan, selepas kenyataan beliau bahawa dua wartawan terbabit 'diperangkap' menjejaskan kes pendakwa raya. - Reuters

Berita Harian X