Ahad, 10 Jun 2018 | 12:27pm
PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Foto REUTERS
PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Foto REUTERS

Hsien Loong jumpa Trump dan Jong-un

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan mengadakan pertemuan berasingan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ketika mereka melawat republik itu untuk sidang kemuncak.

Menurut Kementerian Luar Negeri Singapura, Hsien Loong akan mengadakan pertemuan dengan Jong-un hari ini manakala Trump pada hari berikutnya.

Trump dan Jong-un akan mengadakan sidang kemuncak pertama AS-Korea Utara di Singapura pada hari Selasa di Hotel Capella, Pulau Sentosa, Singapura, dijangka bermula jam 9 pagi.

Sidang kemuncak 'damai nuklear' itu diadakan berikutan hubungan tegang antara Pyongyang dan Washington apabila Korea Utara melancarkan beberapa siri ujian nuklear tahun lalu.

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Singapura, K Shanmugam, dilaporkan berkata bahawa sememangnya Singapura berminat untuk menyumbang kepada proses damai dengan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak Trump-Jong-un.

"Tentera Amerika berada di Korea Selatan dan sudah jelas Amerika Syarikat adalah negara nuklear. Anda mempunyai kebuntuan antara AS dan Republik Demokratik Rakyat Korea, dan anda mempunyai Korea Selatan dan Jepun yang dalam kerisauan

"Ini adalah satu tempoh yang tegang dan anda mempunyai China yang sememangnya mempunyai kepentingan, jika ada sebarang kejadian, ia akan memudaratkan seluruh dunia, khususnya Asia. Kami (Singapura) akan terjejas teruk," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X