Ahad, 29 Julai 2018 | 5:22pm
Penduduk meredah banjir di sepanjang Jalan Yangon-Mandalay di Myanmar
Penduduk meredah banjir di sepanjang Jalan Yangon-Mandalay di Myanmar

54,000 hilang tempat tinggal di Myanmar

BAGO: Banjir meragut sekurang-kurangnya lima nyawa dan memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka di Myanmar, kata pegawai hari ini, ketika musim tengkujuh terus membadai wilayah Mekong.

Imej dramatik menunjukkan sebahagian besar ladang ditenggelami air sepenuhnya, dengan cuma bumbung sebahagian rumah sahaja yang kelihatan.

Beberapa penduduk yang terperangkap diselamatkan oleh penyelamat yang menggunakan bot, manakala yang lain mengharungi air separas pinggang untuk menyelamatkan diri, membawa anak di atas bahu ketika cuba memastikan barangan berharga tidak dihanyutkan air.

Penduduk mangsa banjir dibawa dengan bot ke kawasan selamat di Bago, kira-kira 68km dari Yangon. - Foto AFP
Penduduk mangsa banjir dibawa dengan bot ke kawasan selamat di Bago, kira-kira 68km dari Yangon. - Foto AFP

"Lebih 54,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir di seluruh negara," kata Kementerian Kebajikan Sosial.

Pegawai mengesahkan lima terbunuh tetapi berkata angka itu mungkin meningkat.

Mangsa banjir membawa budak lelaki yang cedera ketika menunggu ambulans di depan biara Barat Shwe Nathar Buddha yang menjadi kem sementara mangsa banjir, di Bago, Myanmar. - Foto EPA
Mangsa banjir membawa budak lelaki yang cedera ketika menunggu ambulans di depan biara Barat Shwe Nathar Buddha yang menjadi kem sementara mangsa banjir, di Bago, Myanmar. - Foto EPA

Arahan pemindahan dikeluarkan di beberapa wilayah, manakala sebahagian daripada 163 kem didirikan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di selatan, timur dan tengah Myanmar.

Banjir di Myanmar berlaku terutama apabila musim tengkujuh berlanjutan melanda rantau itu, membawa hujan lebat yang menyebabkan empangan runtuh minggu lalu di Laos, mengakibatkan ramai maut atau hilang.

Berita Harian X