Selasa, 21 Ogos 2018 | 7:27pm
AUNG San Suu Kyi. - Foto EPA
AUNG San Suu Kyi. - Foto EPA

Suu Kyi dakwa Dhaka jejas kepulangan Rohingya

SINGAPURA: Kaunselor kanan Myanmar, Aung San Suu Kyi, berkata proses penghantaran pulang lebih 700,000 pelarian Rohingya yang kini berlindung di Bangladesh, sebenarnya bergantung kepada Dhaka,

Suu Kyi berkata, Myanmar sentiasa bersedia untuk menerima kepulangan pelarian Rohingya, sejak 23 Januari lalu, seperti yang dipersetujui dalam perjanjian persefahaman yang ditandatangani sebelum ini.

“Adalah sukar bagi kami untuk menetapkan tempoh tertentu secara bersendirian kerana kami memerlukan kerjasama daripada Bangladesh untuk melaksanakannya.

“Justeru, Bangladesh mesti segera membuat keputusan bagaimana mereka mahu menamatkan proses penghantaran pulang itu,” kata Suu Kyi ketika menyampaikan syarahan anjuran ISEAS-Yusof Ishak Institute di sini, semalam.

Sejak perjanjian proses penghantaran pulang itu ditandatangani November lalu, kedua-dua negara dilaporkan berbalah berhubung pelbagai perkara, termasuk membabitkan kad pengenalan yang diwujudkan oleh Kerajaan Bangladesh.

Etnik Rohingya yang berada di beberapa kem penempatan sementara di Cox’s Bazar mendesak supaya mereka diberikan jaminan memperoleh kewarganegaraan, selain keselamatan ketika dihantar pulang ke Rakhine, Myanmar.

Namun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa keadaan di Rakhine masih belum selamat untuk diduduki semula oleh etnik Rohingya. - AFP

Berita Harian X