Isnin, 27 Ogos 2018 | 12:41pm

3 September penentu nasib 2 wartawan Reuters

YANGON: Mahkamah Myanmar menangguhkan keputusan hukuman ke atas dua wartawan Reuters yang didakwa melanggar undang-undang kerahsiaan negara itu ketika melaporkan krisis Rohingya dengan menetapkan tarikh baru, minggu hadapan.

“Keputusan akan diumumkan pada 3 September,” kata hakim daerah, Khin Maung Maung ketika pendengaran di mahkamah Yangon, sambil menambah hakim yang bertanggungjawab tidak sihat.

Penangguhan keputusan itu sekali lagi memanjangkan tempoh menunggu Wa Longe, 32 dan Kyaw Soe Oo, 28 yang sudah berada di dalam penjara Insein Myanmar selama lapan bulan.

Mereka ditahan pada Disember tahun lalu, selepas menghadiri jemputan makan malam polis di Yangon. Sebaik meninggalkan restoran mereka ditahan kerana dituduh memiliki bahan terlarang.

Kedua-dua wartawan itu didakwa melanggar akta kerahsiaan negeri era kolonial, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun. - AFP

Berita Harian X