Khamis, 30 Ogos 2018 | 8:03pm
Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad Al Hussein.
Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad Al Hussein.

Suu Kyi perlu letak jawatan - PBB

BANGKOK: Penerima Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi, perlu meletak jawatan sebagai ketua umum Myanmar berhubung kempen ganas tentera tahun lalu terhadap etnik Rohingya, kata ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad Al Hussein, kepada Perbadanan Penyiaran Britain.

Kempen tentera sebagai reaksi kepada serangan militan Rohingya menyebabkan 700,000 minoriti Islam dari negeri Rakhine itu melarikan diri ke Bangladesh.

Mereka memberi keterangan mengenai jenayah rogol, bunuh dan kebakaran khianat mensasarkan kampung mereka.

Suu Kyi, yang pernah diangkat sebagai tokoh hak asasi manusia, dikecam di luar negaranya kerana gagal mempertahankan Rohingya atau mengutuk tindakan tentera Myanmar.

Sebaliknya, ketika penduduk Rohingya yang terdesak melarikan diri, Suu Kyi berkata ‘maklumat salah’ mengaburkan gambaran sebenar apa yang berlaku di Rakhine dan menyokong kempen tentera sebagai reaksi wajar kepada tindakan pengganas.

“Suu Kyi berada dalam kedudukan membolehkan beliau berbuat sesuatu. Beliau boleh berdiam diri atau lebih baik, meletak jawatan.

“Tiada keperluan baginya menjadi jurucakap tentera Myanmar,” katanya.

Kenyataan keras Hussein itu menguatkan kritikan ke atas Myanmar dan pemimpin awam dan tentera daripada PBB.

Laporan PBB Isnin lalu menyatakan, ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing perlu didakwa kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik minoriti.

Ia juga mengkritik Suu Kyi kerana gagal menggunakan kedudukan moralnya untuk membendung keganasan. — AFP

Berita Harian X