Rabu, 12 September 2018 | 10:04pm
Setiausaha Luar Bangladesh, Shahidul Haque.

Bangladesh mahu Rohingya segera dihantar pulang

HANOI: Setiausaha Luar Bangladesh, Shahidul Haque, berkata negaranya tidak mempunyai rancangan untuk menempatkan pelarian Islam Rohingya secara kekal di negara itu, kerana pada dasarnya mereka adalah rakyat Myanmar.

“Kami tidak pernah merancang untuk menempatkan mereka (pelarian Rohingya) secara kekal di Bangladesh. Mereka adalah rakyat Myanmar,” kata Shahidul kepada Reuters ketika ditemui pada Forum Ekonomi Dunia mengenai ASEAN di sini.

Menurut beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 700,000 pelarian Rohingya lari meninggalkan Myanmar sejak Ogos tahun lalu, selepas pemberontak etnik Rohingya menyerang pasukan keselamatan negara itu.

Namun, pada November lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju menandatangani perjanjian dan proses penghantaran semula akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun, sehingga kini, proses itu masih belum bermula dan ramai etnik Rohingya masih menyeberangi sempadan menuju Bangladesh.

Dalam pada itu, Shahidul turut meminta negara membangun supaya menerima lebih ramai pelarian Rohingya, atas dasar kemanusiaan.

“Pelarian Rohingya akan terus tinggal di kem pelarian sehinggalah mereka dihantar pulang ke Myanmar atau ditempatkan semula di negara lain,” katanya.

Ketika ini, pelarian Rohingya ditempatkan di beberapa kem di Cox’s Bazar.

Berikutan penangguhan proses penghantaran pulang, Bangladesh dijangka menempatkan semua pelarian terbabit di sebuah pulau terpencil, iaitu Bhasan Char.

Menurut Shahidul, pelarian Rohingya akan dipindahkan ke pulau itu dalam tempoh beberapa bulan lagi dan ia hanyalah buat sementara waktu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Bangladesh mendesak masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan ke atas Myanmar supaya segera melaksanakan proses penghantaran pulang pelarian Rohingya. - Reuters

Berita Harian X