Sabtu, 13 Oktober 2018 | 8:24pm
PENGERUSI Eksekutif Alibaba Group Holding, Jack Ma. - Foto AFP
PENGERUSI Eksekutif Alibaba Group Holding, Jack Ma. - Foto AFP

Jack Ma buka institut latih usahawan Indonesia

NUSA DUA: Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Holding, Jack Ma, bercadang membuka institut bagi melatih ribuan usahawan teknologi Indonesia, selepas menjadi penasihat kepada negara itu mengenai e-dagang.

Ma tidak menyebut bila Institut Keusahawanan Jack Ma akan dilancarkan, tetapi berkata sasarannya adalah untuk melatih 1,000 pemimpin teknologi setahun selama 10 tahun.

“Kami memberikan banyak peluang kepada penduduk muda Indonesia untuk belajar,” kata Ma kepada wartawan sebelum bertemu menteri Indonesia ketika mesyuarat Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang dihoskan Indonesia.

Pengasas bersama Alibaba, firma e-dagang terbesar China, berkata adalah penting bagi Indonesia untuk melabur dalam modal insan kerana ‘cuma apabila manusia semakin baik, apabila minda berubah, apabila skil diperbaiki, barulah dapat memasuki tempoh digital’.

Indonesia berhadapan kekurangan jurutera terlatih dalam teknologi dan institut itu turut akan melatih ratusan pemaju dan jurutera pengkomputeran awan untuk membantu perniagaan Indonesia lebih mesra digital.

Ma berkata, syarikatnya akan terus melabur ‘bukan hanya dalam e-dagang tetapi juga pengkomputeran awan, logistik dan infrastruktur di Indonesia, dan membantu membangunkan perniagaan tempatan. — Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X