Selasa, 23 Oktober 2018 | 9:31pm
PENDUDUK membawa botol plastik untuk ditukarkan kepada tiket bas di stesen Purbaya, di Surabaya, Indonesia. - Foto Reuters

Bayar tambang bas dengan botol plastik

SURABAYA: Penduduk di bandar raya kedua terbesar Indonesia berpeluang menggunakan perkhidmatan bas percuma sebagai pertukaran dengan botol plastik terpakai.

Menurut skim yang dilancarkan Surabaya April lalu, penumpang boleh menaiki bandar raya itu yang berwarna merah dengan meletakkan botol plastik di terminal atau membayar tambang secara langsung dengan botol berkenaan.

Tiket untuk perjalanan dua jam memerlukan 10 cawan plastik atau sehingga lima botol plastik, bergantung kepada saiz, dengan harapan dapat memenuhi sasaran menjadi bandar raya bebas sisa plastik menjelang 2020.

Surabaya adalah bandar raya pertama di Indonesia melaksanakan skim itu.

“Sampah, seperti botol plastik, menimbun di kawasan penempatan saya, jadi saya bawa ia ke sini supaya alam sekitar bukan sahaja bersih tetapi membantu mengurangkan beban kerja pengutip sampah,” kata seorang penduduk Linda Rahmawati.

Data menunjukkan 15 peratus atau hampir 400 tan sisa buangan setiap hari di Surabaya adalah plastik.

Bas boleh mengutip sehingga 250 kilogram botol plastik sehari, atau sekurang-kurang 7.5 tan sebulan.

Selepas kutipan, label dan tudung botol dibuang dan dilelong kepada syarikat kitar semula.

Wang yang diperoleh daripada lelongan digunakan untuk operasi bas dan membiayai ruang hijau di bandar raya itu, yang terletak di timur Jawa. — Reuters

Berita Harian X