Selasa, 6 November 2018 | 1:34pm

Facebook perketat dasar kandungan di Myanmar

SAN FRANCISCO: Laporan hak asasi manusia menunjukkan Facebook Inc gagal menghalang laman sosial itu daripada disalah guna bagi tujuan menghasut di Myanmar.

Kajian oleh badan bukan kerajaan, Business for Social Responsibility (BSR) itu diterbitkan oleh Facebook semalam.

Ia bertujuan mengkaji kesan kehadiran laman sosial itu di Myanmar.

Laporan oleh BSR yang berpangkalan di San Francisco turut mencadangkan supaya Facebook menguatkuasa dasar kandungan yang lebih ketat.

Pengendali laman sosial juga disaran meningkatkan pembabitan pegawai Kerajaan Myanmar dan kumpulan masyarakat sivil, selain sering menerbitkan data tambahan mengenai perkembangannya di negara itu.

“Dalam kesimpulannya, laporan itu mendedahkan bahawa apa yang kami lakukan sebelum ini, tidak memadai untuk menghalang platform kami daripada digunakan untuk memecahkan masyarakat dan menghasut keganasan di luar talian.

“Kami setuju bahawa kami mampu melakukannya dan seharusnya melakukannya dengan lebih baik,” kata pengurus dasar produk Facebook, Alex Warofka dalam blognya.

Dalam pada itu, BSR turut memberi amaran bahawa Facebook perlu bersiap sedia untuk mengendalikan kemungkinan berlakunya penyebaran maklumat palsu ketika pilihan raya Myanmar pada 2020.

Menurut laporan itu, ia susulan peningkatan penggunaan aplikasi WhatsApp di Myanmar.

Facebook berkata, mereka sudah melantik 99 pakar bahasa Myanmar untuk meneliti semula kandungan berpotensi mencetuskan pertikaian.

Pada masa sama, sebagai langkah tambahan, Facebook berkata, mereka sudah memperluaskan penggunaan peranti automatik, antaranya bagi mengurangkan penyebaran kandungan berunsur ganas. - Reuters

Berita Harian X