Jumaat, 9 November 2018 | 8:06pm

Mahkamah Myanmar gugur kes tiga wartawan

YANGON: Mahkamah Myanmar hari ini menggugurkan kes terhadap tiga wartawan kanan dari akhbar persendirian terbesar negara itu selepas pihak berkuasa tempatan Yangon bersetuju menggugurkan tuduhan terbabit.

Mereka adalah ketua wartawan Eleven Media, Phyo Wai Win dan dua editor Kyaw Zaw Lin dan Nayi Min. Mereka ditahan pada 10 Oktober lalu atas melakukan provokasi berhubung perbelanjaan kerajaan tempatan Yangon.

Mereka diikat jamin hujung bulan lalu selepas Presiden Win Myint mengarahkan pihak berkuasa cuba menyelesaikan pertikaian itu melalui rundingan.

“Kes terbabit digugurkan hari ini di mahkamah dan kami mengalu-alukan,” kata peguamnya, Kyee Myint.

Kerajaan tempatan Yangon yang diketuai Ketua Menteri Phyo Min Theinm ialah seorang anak didik pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan salah seorang ahli parti Liga Demokrasi Nasional (NLD).

Beliau menuntut satu permohonan maaf dan berkata semalam bahawa dia akan meneruskan tuntutan undang-undang terhadap kumpulan media itu jika dia tidak mendapat rundingan seperti disyorkan presiden.

“Jika rundingan tidak berjaya, saya akan meneruskan proses undang-undang,” katanya.- Reuters.

Berita Harian X