Selasa, 27 November 2018 | 2:13pm
GAMBAR fail, pelarian Rohingya yang ditahan di pelarian Langkawi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia. - Foto AP
GAMBAR fail, pelarian Rohingya yang ditahan di pelarian Langkawi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia. - Foto AP

Myanmar rampas bot bawa Rohingya ke Malaysia

YANGON: Pihak berkuasa Myanmar merampas bot membawa 93 penumpang Islam Rohingya yang melarikan diri dari kem pelarian di negeri Rakhine dan berharap dapat sampai ke Malaysia, kata pegawai hari ini.

Bot itu dipercayai yang ketiga menuju ke Malaysia yang disekat di perairan Myanmar sejak musim hujan mula surut bulan lalu, menjadikan cuaca lebih tenang, menimbulkan kebimbangan gelombang baru pelayaran penuh bahaya selepas tindakan ke atas penyeludup manusia pada 2015.

Pengarah pejabat kerajaan di Dawei di selatan Myanmar, Moe Zaw Latt, berkata nelayan melaporkan bot mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Tentera laut menahan bot itu kelmarin dan menangkap 93 orang yang berkata mereka datang dari kem Thae Chaung di ibu negeri Rakhine, Sittwe.

Tahe Chaung terletak kira-kira 900 kilometer ke barat laut Dawei dan menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya etnik Rohingya.

“Mereka memberitahu mereka lari dari kem itu dan berhasrat menuju ke Malaysia,” kata Moe Zaw Latt, menambah pihak berkuasa bersedia menghantar mereka pulang semula ke Sittwe, hari ini.

Gambar dalam media menunjukkan polis berdiri ketika penumpang, ramai daripada mereka wanita bertudung dan kanak-kanak, berkumpul di dek.

Bot itu menyerupai kapal yang selalu digunakan Rohingya untuk melarikan diri dari Rakhine, yang menyaksikan pergerakan dan akses kepada perkhidmatan disekat. — Reuters

Berita Harian X