Ahad, 23 Disember 2018 | 1:09pm

Mayat polis dengan kesan tembakan dijumpai di Rakhine

YANGON: Mayat seorang anggota polis Myanmar dengan kesan tembakan ditemui di utara negeri Rakhine, lapor media tempatan hari ini, ketika ketegangan semakin memuncak di kawasan panas tercetusnya krisis Rohingya, tahun lalu.

Mangsa, Aung Kyaw Thet dilaporkan hilang selepas kejadian serbuan oleh penyerang tidak dikenali di bandar Maungdaw dekat dengan sempadan Bangladesh.

Menurut laporan akhbar Global New Light of Myanmar, mayat Thet ditemui dua hari lalu, dengan kesan luka di muka, tangan dan kaki di kawasan bukit negara jiran.

Serbuan itu berlaku pada hari yang sama dua etnik Buddha Rakhine hilang ketika memancing di bandar yang sama dan kemudian dijumpai dengan keadaan kesan kelar di leher.

Insiden itu menyebabkan tentera Myanmar melancarkan ‘operasi pembersihan’ dan meningkatkan kebimbangan keganasan baharu bakal tercetus.

Bagaimanapun, laporan Global New Light hari ini tidak mendedahkan dalang di sebalik serangan tetapi pihak berkuasa menjumpai kubu lubang berhampiran tempat kejadian, termasuk beberapa kelongsong peluru dan biskut yang dikilangkan di Bangladesh.

Wilayah barat negara itu adalah kawasan yang menjadi tempat perpecahan etnik dan agama, malah pertempuran pernah berlaku antara pasukan keselamatan dan pejuang Rohingya serta tentera Rakhine dari pasukan Tentera Buddha Arakan.

Setakat ini, lebih 720,000 etnik Rohingya melarikan diri dari utara Rakhine ke Bangladesh selepas Myanmar bertindak keras terhadap kumpulan etnik minoriti Rohingya, sejak Ogos 2017. - AFP

Berita Harian X