Selasa, 8 Januari 2019 | 6:32pm
UNHCR sedang memproses permohonan status pelarian Rahaf. - AFP

Bapa, abang remaja Arab Saudi tiba di Thailand

BANGKOK: Bapa remaja warga Arab Saudi yang melarikan diri ke Thailand, tiba di Bangkok dan berharap dapat bertemu dengan anak perempuannya, yang cuba memohon suaka kerana bimbang dibunuh keluarga jika pulang ke negara asalnya.

Namun, Ketua Polis Imigresen Thailand, Surachate Hakpan, berkata pertemuan antara Rahaf Mohammed Al Qunun, 18, dan kedua-dua bapa serta abangnya hanya boleh diadakan selepas mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

“Bapa dan abangnya mahu berjumpa serta berbincang dengan Rahaf tetapi ia memerlukan kebenaran daripada UNHCR,” kata Surachate kepada wartawan.

Semalam, UNHCR berkata, mereka sedang menyiasat kes Rahaf itu selepas beliau melarikan diri ke Thailand dan mendakwa akan dibunuh keluarganya, jika dihantar pulang ke Arab Saudi.

Dalam pada itu, beberapa aktivis menyatakan kebimbangan mereka mengenai tindakan yang bakal diambil Kerajaan Arab Saudi, selepas pihak berkuasa Thailand menarik balik keputusan untuk mengusir Rahaf dan remaja itu kini diletakkan di bawah jagaan UNHCR.

“Bapanya sudah berada di Thailand dan ia menimbulkan kebimbangan kerana kita tidak tahu apa yang akan beliau lakukan, sama ada dia akan cuba mendapatkan maklumat mengenai lokasi anaknya dan cuba mengganggunya.

“Kita tidak tahu sama ada beliau akan mendapatkan kerjasama pihak kedutaan untuk berbuat demikian,” kata timbalan pengarah (Asia) Human Rights Watch, Phil Robertson.

Sementara itu, pengamal undang-undang dan beberapa aktivis di Australia serta Britain mendesak kerajaan masing-masing supaya memberi suaka kepada Rahaf, yang akhirnya dibenarkan masuk ke Thailand, kelmarin, iaitu hampir 48 jam selepas terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

Beliau kini tinggal di sebuah hotel di Bangkok, sementara menunggu permohonan status pelariannya diproses oleh UNHCR, bagi membolehkannya memohon suaka di negara ketiga.

Kakitangan UNHCR sudah menemubualnya semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan Rahaf, kelmarin.

“Ia akan mengambil masa selama beberapa hari untuk memproses kes ini dan menentukan langkah seterusnya.

“Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa Thailand ketika tidak menghantarnya (Rahaf) pulang kerana ia bukan kehendaknya serta terus melindunginya,” kata wakil UNHCR di Thailand, Giuseppe de Vincentiis dalam satu kenyataan.

Kisah Rahaf yang tular di media sosial, mendapat perhatian orang ramai dari seluruh dunia, sekali gus memberi keyakinan kepada pihak berkuasa Thailand untuk membatalkan langkah menghantarnya pulang ke Arab Saudi.

Sementara itu, Kedutaan Arab Saudi di Thailand menyangkal laporan bahawa Riyadh sudah mengemukakan permohonan ekstradisi ke atas remaja wanita itu.

“Kerajaan Arab Saudi tidak pernah memohon untuk mengekstradisi beliau. Pihak kedutaan menyifatkan isu ini sebagai hal ehwal keluarga,” kata kedutaan itu menerusi akaun Twitter. - Reuters

Berita Harian X